Sepertimana penterjemah yang mengusahakan sari kata filem, golongan ‘Penterjemah Kita’ berkongsi matlamat memupuk pemahaman merentasi bahasa dan budaya.
Ini dinyatakan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, dalam satu hantaran Facebook pada 30 September.
Encik Tan memuatnaikkan hantaran tersebut setelah menghadiri majlis penghargaan buat ‘Penterjemah Kita’ pada 29 September.
Seramai 150 penterjemah, anggota Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) dan panel sumber menghadiri acara makan tengah hari dan tayangan filem, Bonjour Switzerland di acara Cinematic Celebration of Translation.
Turut hadir ialah kaunselor sains di kedutaan Switzerland, Encik Joel Brunner.
Acara itu adalah sebahagian sambutan ulang tahun ke-10 NTC dengan tema, ‘Menghubungkan Masyarakat Menerusi Terjemahan – Masa Lalu, Kini dan Akan Datang’.
Ia diadakan sebelum sidang ulang tahun ke-10 NTC berlangsung pada 15 November di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec.
“Saya gembira dapat mendekati ramai ‘Penterjemah Kita’ pada acara ini; sokongan padu mereka selama bertahun-tahun lamanya penting dalam membantu pemerintah mempertahankan mutu terjemahan yang tinggi,” katanya sempena Hari Terjemahan Antarabangsa pada 30 September.
Menurutnya, keupayaan menghargai filem asing berbekalkan sari kata mengingatkan tentang peranan penting yang dimainkan terjemahan dalam melangkaui hambatan bahasa dan membenarkan kita berhubung dengan budaya berbeza.
“Marilah kita bekerjasama dalam memastikan bahasa tidak akan menjadi hambatan memahami satu sama lain!” tambah Encik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg