Seorang doktor pediatrik yang berpangkalan di New York telah mengambil tindakan menyaman syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA), kerana dikatakan menghidangkan makanan mengandungi udang untuknya.
Ini walaupun beliau mendakwa sudah memaklumkan kepada kru kabin SIA bahawa beliau mempunyai alahan kepada makanan laut.
Akibat mengambil sajian tersebut, beliau mengalami reaksi alahan yang teruk, lapor The Straits Times (ST).
Menurut satu tuntutan mahkamah yang difailkan pada 17 Jun di Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Daerah Timur New York, Dr Doreen Benary, 41 tahun, telah memaklumkan kepada seorang kru kabin SIA mengenai alahannya, selepas beliau menaiki penerbangan SIA SQ026 dari Frankfurt, Jerman, ke New York pada 8 Oktober 2024.
Bagaimanapun, Dr Benary yang merupakan penumpang Kelas Perniagaan, dikatakan menerima hidangan makanan yang mengandungi udang tanpa pengetahuannya.
Setelah memakan sebahagian daripada hidangan itu, Dr Benary mendapati ia mengandungi udang dan mula berasa sakit.
Beliau kemudian menyoal kru kabin berkenaan tentang sajian tersebut.
Kru tersebut mengaku beliau telah membuat kesilapan dan memohon maaf, menurut dokumen mahkamah.
Dr Benary kemudian mengalami “reaksi alahan yang teruk” dan “jatuh sakit dengan teruk”, menyebabkan pesawat itu terpaksa melakukan lencongan kecemasan ke Paris, Perancis, dan beliau menerima rawatan perubatan kecemasan di dua kemudahan perubatan berasingan.
Dr Benary berkata melalui dokumen mahkamah bahawa beliau telah dan akan terus mengalami kesakitan, keperitan dan tekanan mental yang amat sangat serta terpaksa menjalani rawatan perubatan kecemasan yang menyakitkan.
Beliau mendakwa kejadian tersebut juga menyebabkan beliau “kehilangan nikmat kehidupan, usaha dan minatnya” serta percaya beliau akan terus kehilangan nikmat tersebut.
Dr Benary meminta SIA membayar “ganti rugi penuh, adil dan munasabah” dalam sejumlah wang yang akan ditentukan semasa perbicaraan, berserta “faedah, kos dan perbelanjaan bagi tindakan ini”.
Peguam Dr Benary, Encik Abram Bohrer, memberitahu akhbar The Independent, bahawa beliau tidak dapat mengulas mengenai saman tersebut tanpa kebenaran anak guamnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg