Penumpang di stesen Kembangan dan Bedok perlu menunggu sehingga 17 minit bagi kereta api MRT susulan fasa akhir kerja landasan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) semasa penutupan berjadual stesen MRT di bahagian timur Singapura.
Ini kerana satu platform di kedua-dua stesen digunakan bagi tujuan ujian, kata LTA dalam kenyataan pada 5 Disember.
Sepanjang tempoh itu, ujian langsung terhadap kereta api dan sistem lain akan dijalankan pada landasan yang baru dipasang.
Ujian langsung akan dijalankan di luar waktu sibuk bagi mengelak gangguan tambahan kepada penumpang, kata Pengarah Kumpulan LTA bagi Kereta Api (Elektrikal dan Mekanikal), Encik Chia Choon Poh.
Menurutnya, ujian bermula pada 4 Disember, dengan kelajuan perlahan 18 kilometer setiap jam (kmh) bagi menguji landasan baru, rel ketiga yang membekalkan kuasa kepada kereta api, sistem isyarat serta sistem lain.
Setelah ujian itu berjaya dijalankan, LTA akan menguji kereta api pada kelajuan biasa sehingga 80kmh.
Menurut Encik Chia, pekerja tetap dapat meneruskan tugas walaupun sebahagian besar landasan terdedah pada cuaca dan hujan lebat.
Perkhidmatan telah dihentikan antara stesen Tanah Merah dengan Expo, serta antara stesen Bedok dengan Tampines bagi memudahkan kerja yang menghubungkan Laluan Timur-Barat (EWL) sedia ada dengan Depoh Bersepadu East Coast baru.
Depoh tersebut dijadual memulakan operasi penuh pada separuh kedua 2026, lapor The Straits Times (ST).
Dua stesen, Tanah Merah dan Simei, ditutup sepanjang tempoh itu.
Penutupan selama 10 hari itu berlangsung dari 29 November hingga 8 Disember, dan perkhidmatan akan disambung mengikut jadual pada 9 Disember, jelas Encik Chia.
Selain menghubungkan EWL dengan depoh baru, kerja turut dijalankan pada platform baru di stesen Tanah Merah.
Platform baru itu akan membolehkan Laluan Thomson-East Coast (TEL) beroperasi menggunakan dua landasan.
Laluan sepanjang 14 kilometer antara stesen Tanah Merah dengan Lapangan Terbang Changi akan menjadi sebahagian daripada laluan lanjutan baru TEL, yang akan melalui Terminal 5 Lapangan Terbang Changi akan datang.
Laluan lanjutan TEL dijangka siap pada pertengahan 2030-an, selaras dengan pembukaan terminal lapangan terbang baru itu.
Mulai 9 Disember, perkhidmatan EWL arah timur menuju Pasir Ris akan beroperasi dari platform baru.
Penumpang yang perlu menukar kereta api, perlu turun ke aras pusat khidmat penumpang sebelum naik semula ke platform lain.
Ini berbeza daripada aturan semasa di mana penumpang hanya perlu menyeberangi platform untuk menaiki kereta api ke Lapangan Terbang Changi.
Sepanjang tempoh 10 hari itu, penumpang yang menuju ke Tanah Merah dan Simei boleh menggunakan bas Shuttle 7 yang beroperasi setiap tiga hingga lima minit antara stesen Bedok dengan Tampines.
Bagi penumpang yang menuju ke Expo dan seterusnya ke Lapangan Terbang Changi, bas Shuttle 8 disediakan setiap 10 minit antara stesen Bedok dengan Expo.
Kereta api EWL masih beroperasi, namun penyesuaian telah dibuat di beberapa segmen laluan tersebut.
Selain itu, perkhidmatan kereta api ulang-alik turut disediakan antara Paya Lebar dengan Bedok, Pasir Ris dan Tampines, serta Expo dan Lapangan Terbang Changi.
Penumpang dari kededua arah – timur dan barat – perlu menukar kereta api di stesen Paya Lebar untuk meneruskan perjalanan.
Laluan Circle (CCL) di Paya Lebar tidak terjejas dengan aturan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg