Penumpang di stesen Tanah Merah, Expo teruskan perjalanan dengan teratur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang di stesen Tanah Merah, Expo teruskan perjalanan dengan teratur

Hari pertama khidmat MRT Tanah Merah-Expo digantung pada 14 Mac berjalan lancar
Mar 14, 2026 | 5:46 PM

Penumpang di stesen Tanah Merah, Expo teruskan perjalanan dengan teratur

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
penggantungan MRT, Tanah Merah, bas ulang-alik Penumpang, MRT, Tanah Merah, Expo,
Petugas mengarahkan penumpang ke perhentian bas ulang-alik S8 di luar stesen MRT Tanah Merah pada 14 Mac. - Foto ST

Perjalanan penumpang di stesen MRT Tanah Merah dan Expo kekal teratur pada 14 Mac, hari pertama penggantungan perkhidmatan di Laluan Timur-Barat (EWL).

Sebilangan besar penumpang dilihat tidak terjejas dan menggunakan laluan alternatif melalui perkhidmatan bas ulang-alik S8 yang disediakan bagi menghubungkan kedua-dua stesen tersebut.

Petugas pengurusan orang ramai ditempatkan di platform kereta api, kawasan gantri serta di perhentian bas bagi membimbing penumpang menggunakan mikrofon mudah alih dan baton lampu.

Tinjauan The Straits Times (ST) di stesen MRT Tanah Merah pada sekitar 7.45 pagi menunjukkan kakitangan bertugas membantu menjawab pertanyaan penumpang, sementara papan tanda besar dipaparkan bagi memaklumkan tentang penggantungan perkhidmatan dari 14 hingga 17 Mac.

Sesetengah penumpang, seperti Encik Peter Tan, 48 tahun, mengetahui tentang penggantungan perkhidmatan itu lebih awal melalui media sosial dan papan tanda di stesen.

Eksekutif penjualan yang bekerja di Lapangan Terbang Changi itu berkata beliau lazimnya menaiki kereta api dari stesen Tanah Merah ke lapangan terbang pada 8.20 pagi.

Namun pada 14 Mac, beliau masih menunggu ketibaan perkhidmatan bas ulang-alik di perhentian bas di luar stesen Tanah Merah pada waktu tersebut.

Beliau yakin masih dapat tiba di tempat kerja tepat pada 9 pagi, dan menambah bahawa penggantungan perkhidmatan itu “boleh diterima” kerana hanya berlangsung selama beberapa hari.

Ini merupakan penggantungan perkhidmatan ketiga dan terakhir yang dirancang bagi menghubungkan EWL ke Depoh Bersepadu East Coast (ECID) yang baharu.

Dalam penggantungan pertama dari 7 hingga 10 Disember 2024, perkhidmatan kereta api antara stesen Tanah Merah dengan Tampines digantung bagi memulakan kerja penyambungan EWL ke depoh baru tersebut.

Seterusnya, dalam penggantungan kedua dari 29 November hingga 8 Disember 2025, perkhidmatan antara stesen Bedok dengan Tampines serta antara stesen Tanah Merah dengan Expo dihentikan bagi menyiapkan baki kerja penyambungan landasan dan menghubungkan platform baru di stesen Tanah Merah.

Depoh tersebut mula dibina pada 2016 dan dijangka dibuka pada separuh kedua 2026.

Kemudahan itu akan menempatkan depoh kereta api yang berkhidmat bagi EWL, Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Laluan Downtown (DTL), serta sebuah depoh bas.

Di kawasan berteduh di luar stesen Tanah Merah, sebuah khemah besar telah didirikan dengan pagar besi yang disusun rapi bagi mengurus barisan penumpang yang menunggu perkhidmatan bas ulang-alik S8.

Penumpang beratur di tempat berteduh, sambil menunggu ketibaan bas ulang-alik S8 ke Expo pada hari pertama perkhidmatan kereta api Laluan Timur-Barat (EWL) antara stesen Tanah Merah dengan Expo digantung.
Penumpang beratur di tempat berteduh, sambil menunggu ketibaan bas ulang-alik S8 ke Expo pada hari pertama perkhidmatan kereta api Laluan Timur-Barat (EWL) antara stesen Tanah Merah dengan Expo digantung. - Foto ST

Sebuah kipas besar turut ditempatkan di kawasan tersebut bagi keselesaan penumpang.

Masa menunggu bagi perkhidmatan bas ulang-alik S8 adalah antara 45 saat hingga kira-kira lima minit.

Aras pertama setiap bas bertingkat yang tiba kelihatan hampir penuh, dengan beberapa penumpang terpaksa berdiri bersama beg mereka, manakala aras kedua kelihatan agak lengang.

Tinjauan mendapati perjalanan bas ulang-alik dari stesen Tanah Merah ke Expo mengambil masa sekitar enam minit.

Di perhentian bas Expo, beberapa petugas pengurusan orang ramai kelihatan membimbing penumpang yang keluar dari bas untuk menuju ke arah stesen MRT.

Petugas juga memberikan panduan kepada penumpang dari stesen MRT agar menuju ke perhentian yang sama bagi meneruskan perjalanan ke arah Tanah Merah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg