Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang penerbangan dari S’pura perlu bayar levi bahan api hijau mulai Okt 2026

CAAS: Penumpang penerbangan jarak lebih jauh dikena caj lebih tinggi
Nov 10, 2025 | 8:14 PM
Singapura, penerbangan, levi bahan api hijau
Levi tersebut akan dikenakan ke atas tiket penerbangan yang dijual mulai 1 April 2026, bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura mulai 1 Oktober 2026. - Foto fail

Penumpang yang menaiki penerbangan dari Singapura mulai Oktober 2026 akan dikenakan levi antara $1 dengan $41.60 bagi membiayai pembelian bahan api penerbangan mampan.

Levi tersebut akan dikenakan ke atas tiket penerbangan yang dijual mulai 1 April 2026, bagi penerbangan yang berlepas dari Singapura mulai 1 Oktober 2026, umum Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), pada 10 November.

Penumpang akan membayar levi itu bersama harga tiket, dan syarikat penerbangan perlu menyatakan harga levi tersebut sebagai butiran berasingan pada tiket yang dijual.

Penumpang yang menaiki penerbangan jarak lebih jauh akan dikenakan caj lebih tinggi kerana ia menggunakan lebih banyak bahan api, kata CAAS.

Harga levi tersebut juga lebih tinggi bagi kabin premium, dengan penumpang kelas perniagaan atau kelas pertama dijangka membayar sehingga empat kali ganda lebih banyak berbanding penumpang kelas ekonomi.

Ini berdasarkan amalan industri dalam mengira pelepasan karbon bagi penumpang mengikut kelas kabin, jelas CAAS.

Bagi pelaksanaan levi tersebut, destinasi di seluruh dunia dibahagikan kepada empat kumpulan geografi, dengan harga levi meningkat mengikut setiap kumpulan (band) berdasarkan jarak perjalanan.

– Band 1: Asia Tenggara

– Band 2: Asia Timur Laut, Asia Selatan, Australia dan Papua New Guinea

– Band 3: Afrika, Asia Tengah dan Barat, Eropah, Timur Tengah, kepulauan Pasifik dan New Zealand

– Band 4: Amerika

Bagi penerbangan dengan beberapa hentian, harga levi akan dikira berdasarkan destinasi seterusnya selepas berlepas dari Singapura, kata Ketua Pegawai Kemampanan CAAS, Encik Daniel Ng, pada sidang media yang berlangsung pada 10 November.

Bagi penumpang kelas ekonomi atau ekonomi premium, harga levi $1 dikenakan untuk penerbangan ke Bangkok (Band 1); $2.80 ke Tokyo (Band 2); $6.40 ke London (Band 3); dan $10.40 ke New York (Band 4).

Harga itu lebih rendah daripada anggaran awal. 

Pada awal 2024, CAAS menganggarkan penumpang kelas ekonomi akan dikenakan levi $3 untuk penerbangan jarak dekat; $6 untuk penerbangan jarak sederhana; dan $16 untuk penerbangan jarak jauh, lapor The Straits Times (ST).

Perbezaan itu disebabkan kos bahan api penerbangan hijau yang lebih rendah, berbanding ketika anggaran awal itu dibuat.

“Sejak itu, harga bahan api penerbangan mampan telah menurun,” kata Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, kepada wartawan pada sidang media tersebut.

Bagi penumpang kelas perniagaan atau kelas pertama, harga levi yang dikenakan adalah $4 untuk penerbangan ke Bangkok; $11.20 ke Tokyo; $25.60 ke London; dan $41.60 ke New York – harga maksimum yang boleh dikenakan.

Encik Han berkata tempoh pelaksanaan, iaitu untuk tiket yang dijual mulai April 2026 bagi penerbangan yang berlepas dari Oktober 2026, ditetapkan berdasarkan maklum balas industri.

Ini dilakukan bagi memberi masa kepada syarikat penerbangan dan penumpang membuat penyesuaian. 

Levi itu tidak akan dikenakan ke atas penumpang yang menaiki penerbangan dengan persinggahan (transit) di Singapura. 

Ia juga tidak akan dikenakan bagi penerbangan latihan serta penerbangan untuk tujuan kebajikan atau kemanusiaan, jelas CAAS.

Dengan levi tersebut hanya terpakai bagi tiket yang dijual mulai 1 April 2026, Encik Ng berkata:

“Jika anda membeli tiket hari ini, levi ini tidak akan dikenakan, walaupun anda membuat penerbangan selepas 1 Oktober 2026.”

Singapura menyasarkan untuk bahan api penerbangan mampan membentuk 1 peratus daripada keseluruhan bahan api pesawat yang digunakan di Lapangan Terbang Changi dan Seletar pada 2026.

Matlamatnya adalah untuk meningkatkan sasaran itu kepada 3 hingga 5 peratus menjelang 2030, bergantung kepada perkembangan sejagat dan ketersediaan bahan api penerbangan hijau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg