Sebuah syarikat baru ditubuhkan bagi membeli dan mengurus bekalan bahan api penerbangan hijau untuk hab udara Singapura, jelas Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 30 Oktober.
Dikenali sebagai, Singapore Sustainable Aviation Fuel Company (SAFCo), ia akan menggunakan levi daripada penumpang untuk membeli bahan api jet hijau.
Bahan api itu akan dicampur dengan bahan api tradisional dan digunakan di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar.
Langkah itu menyusul dua minggu selepas Parlimen meluluskan rang undang-undang yang membolehkan Singapura mengenakan levi tetap bagi menyokong penggunaan bahan api hijau oleh syarikat penerbangan.
Sasaran awal agar 1 peratus bahan api jet yang digunakan di Changi dan Seletar pada 2026 datang daripada sumber hijau, sebelum meningkat kepada 3 hingga 5 peratus menjelang 2030.
Bahan api penerbangan hijau kebanyakannya diperbuat daripada bahan buangan seperti minyak masak terpakai.
CAAS memiliki sepenuhnya SAFCo, dengan Ketua Pengarah, Encik Han Kok Juan, bertindak sebagai pengerusi.
Cik Tan Seow Hui, seorang tokoh berpengalaman dalam industri tenaga dan penerbangan pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SAFCo.
Penumpang akan mula membayar levi pada 2026, dianggarkan sekitar $3 bagi penerbangan jarak dekat, $6 bagi jarak sederhana dan $16 bagi jarak jauh.
Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), jumlah muktamad akan diumumkan menjelang akhir 2025.
Bahan api penerbangan hijau adalah cara paling praktikal untuk mengurangkan pelepasan karbon tanpa memerlukan ubah suai pesawat atau prasarana sedia ada yang agak mahal, jelas CAAS.
SAFCo akan mengurus pembelian bahan api secara berpusat melalui proses tender telus dan mematuhi piawaian antarabangsa.
Menurut Cik Tan, keutamaan awal adalah menubuhkan sistem pungutan levi dan pasukan perolehan seramai 10 orang.
Syarikat juga akan berunding dengan syarikat penerbangan serta pengendali kargo menjelang pusingan perolehan pertama pada 2026.
Selain membeli bahan api melalui levi, syarikat itu akan mengumpulkan permintaan sukarela daripada pertubuhan yang ingin mengurangkan jejak karbon perjalanan atau operasi mereka, kata Encik Han.
Menggabungkan permintaan akan membantu syarikat memperoleh kontrak jangka panjang dan harga lebih berdaya saing, jelas Cik Tan.
Kos tinggi bahan api hijau menghalang penggunaannya secara meluas, kerana ia tiga hingga empat kali lebih mahal daripada bahan api biasa.
“Langkah menggalakkan penggunaan bahan api hijau membolehkan kita memenuhi tanggungjawab alam sekitar sambil mengekalkan daya saing hab udara Singapura,” jelas Encik Han.
Ketua Pegawai Kelestarian CAAS, Encik Daniel Ng, berkata sasaran 1 peratus pada 2026 mungkin tidak tercapai kerana pasaran kecil dan harga tidak menentu.
Pelan hab udara lestari 2024 menyasarkan pengurangan pelepasan 20 peratus menjelang 2030 dan sifar bersih pada 2050.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg