Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penumpang tidak perlu tukar kepada kad SimplyGO 

Hong Tat mohon maaf, $40j dibelanja agar penumpang boleh terus guna kad EZ-link, Nets FlashPay
Jan 22, 2024 | 8:06 PM
TIDAK PERLU TUKAR: Pihak berkuasa pada 22 Januari berkata, mereka akan hentikan peralihan yang dirancang berikutan maklum balas orang ramai.
TIDAK PERLU TUKAR: Pihak berkuasa pada 22 Januari berkata, mereka akan hentikan peralihan yang dirancang berikutan maklum balas orang ramai. - Foto ST

Pemegang kad lama EZ-link yang tidak serasi dengan kad SimplyGo tidak lagi perlu beralih kepada platform bayaran tersebut sebelum 1 Jun untuk membayar tambang pengangkutan awam.

Kad Nets FlashPay juga akan terus diterima untuk pembayaran tambang dewasa, dan penumpang juga tidak perlu menukarnya dengan kad Prabayar Nets.

Watch on YouTube

Pihak berkuasa pada 22 Januari berkata bahawa mereka akan menghentikan peralihan yang dirancang berikutan maklum balas orang ramai.

Mengumumkan perkembangan terkini itu dalam catatan Facebook pada 22 Januari, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat berkata pemerintah sebaliknya akan melabur tambahan $40 juta agar para penumpang boleh terus menggunakan kad EZ-Link dan Nets Flashpay jika mereka mahu.

Dana itu akan dibelanjakan untuk menyelenggara dan menggantikan perkakasan sistem tiket berasaskan kad itu. 

“Kami telah memutuskan untuk melanjutkan penggunaan semasa (sistem tiket berasaskan kad) untuk penumpang dewasa, dan tidak menghentikan sistem pada 2024 seperti yang dirancang pada asalnya,” tulis Encik Chee.

Keputusan itu, tambahnya, dibuat selepas mempertimbangkan kebimbangan dalam kalangan penumpang sejak pengumuman Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 9 Januari.

Kebimbangan utama yang diluahkan ialah penumpang tidak akan lagi melihat potongan tambang dan baki kad di pintu tambang dan pembaca kad bas setelah beralih kepada SimplyGo.

Encik Chee memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami oleh penumpang yang cuba menukar kad lama EZ-link mereka sejak pengumuman dibuat. 

Akhbar The Straits Times sebelum ini melaporkan bahawa aplikasi SimplyGo menjadi kurang responsif dan orang ramai tidak dapat menggunakan beberapa cirinya pada 10 Januari.

Penumpang juga menghadapi kesukaran mempertingkat kad EZ-link mereka kepada SimplyGo di pejabat tiket dan mesin di stesen MRT dan pertukaran bas, dengan masalah itu berterusan hingga 11 Januari.

“Ini boleh dielakkan dengan persediaan yang lebih baik,” kata Encik Chee, sambil menambah bahawa LTA telah berusaha menangani isu ini dengan mengemas kini aplikasi SimplyGo dan mempercepat proses penukaran kad.

Mereka yang sudah menukar kepada kad EZ-Link SimplyGo antara 9 dengan 22 Januari, juga boleh memilih untuk menukar semula kepada kad EZ-Link yang dahulu, secara percuma.

LTA berkata butiran mengenai pertukaran kad ini akan diumumkan pada penghujung Februari, disebabkan keperluan masa persediaan untuk mengurangkan kesulitan kepada penumpang.

Pemegang kad konsesi, seperti pelajar dan warga emas, juga akan dapat menukar kepada kad bukan SimplyGo sebagai sebahagian daripada pertukaran ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg