Seorang lelaki berusia 60 tahun yang menunggang basikal di penghubung taman Sembawang Park pada 2022 maut selepas diserang tebuan.
Lelaki itu, Encik Ronnie Eng meninggal dunia pada 7 Julai, tiga hari selepas diserang tebuan pada 4 Julai pada tahun tersebut.
Koroner Negara Encik Adam Nakhoda berkongsi penemuan mengenai kematian Encik Ronnie Ang pada 13 September 2024 dan memutuskan kejadian itu sebagai satu kemalangan yang tragis, lapor akhbar The Straits Times.
Encik Ang, 60 tahun sedang berbasikal berhampiran Kuil Sembawang ‘God of Wealth’ di Admiralty Road pada kira-kira 11:40 pagi apabila beliau terserempak dengan sekawan tebuan.
Walaupun disengat beberapa kali, beliau sempat berbasikal melepasi tebuan dan berhenti di blok berhampiran untuk menghubungi isterinya yang terus menelefon ambulans dan keluar mencarinya.
Apabila ditemui pada 12:15 tengah hari, Cik Ang memberi suaminya yang mengadu dahaga dan tekaknya sakit sedikit minuman.
Bekas sengatan tebuan jelas kelihatan di badannya.
Paramedik tiba sejurus selepas jam 12:20 tengah hari, dan Encik Ang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Ujian darah mendedahkan bahawa beliau mempunyai tanda radang jantung, hati dan buah pinggang - simptom kegagalan pernafasan - dan pasukan perubatan memulakan rawatan untuk jantung dan buah pinggangnya.
Walaupun langkah rawatan telah diambil, terdapat tanda-tanda kecederaan buah pinggang yang teruk akibat toksin dari sengatan tebuan yang menjejaskan organ pentingnya.
Encik Ang, yang menghidap penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan sten pada 2014, meninggal dunia pada 7 pagi pada 7 Julai 2022.
Punca terakhir kematiannya disahkan sebagai kegagalan pelbagai organ berikutan serangan serangga, dengan penyakit jantung iskemik antara punca lain.
Penyakit jantung yang sedia ada “kemungkinan menyumbang kepada kematiannya”
Koroner Negara menyatakan bahawa penyakit jantung yang memang dialami Encik Ang mungkin menyumbang kepada kematiannya, dan rawatan perubatan yang diberikan adalah “munasabah”.
Koroner Negara menasihatkan supaya orang ramai berhati-hati semasa mendekati sarang tebuan, dan melaporkan penemuan sarang kepada Lembaga Taman Negara (NParks).
Pegawai NParks sebelum ini telah menjalankan dua pemeriksaan di sepanjang penyambung taman pada 7 dan 9 Jun 2022, tetapi tidak melaporkan sebarang aktiviti tebuan.
Sarang itu dimusnahkan selepas kejadian itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg