Seorang penunggang basikal maut akibat kemalangan dengan sebuah kereta di Tampines pada pagi 10 Februari.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) pada 12 Februari, polis memaklumkan mereka menerima laporan mengenai kemalangan tersebut, yang berlaku di Tampines Avenue 9 menghala ke Tampines Avenue 2, sekitar 7.45 pagi.
Penunggang basikal berusia 61 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Changi (CGH), di mana beliau kemudian disahkan meninggal dunia.
Menurut polis, pemandu kereta berusia 47 tahun telah ditahan atas kesalahan memandu tanpa pertimbangan yang munasabah hingga menyebabkan kecederaan parah.
Keluarga mangsa kini membuat rayuan untuk saksi atau rakaman kejadian, menurut satu hantaran di platform media sosial Xiaohongshu oleh seorang pengguna yang mengenal pasti dirinya sebagai rakan keluarga.
Siasatan polis masih dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg