MELAKA: Syarikat lori yang disyaki menjadi punca kemalangan yang menyebabkan tujuh orang termasuk seorang wanita warga Singapura terkorban di Kilometer (KM) 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara pada 23 Disember 2024 lalu akan dihadapkan ke mahkamah pada 4 Mac ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Encik Muhammad Firdaus Shariff, berkata sebutan kes akan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Gajah.
Selain itu, JPJ juga memohon untuk melucut hak treler semi tangki yang membawa muatan serbuk simen itu.
“Kita telah menyerahkan saman bagi tindakan mahkamah kepada pemilik syarikat lori dari Johor pada 7 Februari dan tarikh sebutan kes berkenaan ditetapkan pada 4 Mac.
“Tuduhan dibuat atas kesalahan lebih muatan iaitu lebihan 16,250 kilogram atau 31 peratus had muatan yang dibenarkan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Selain tujuh terkorban, nahas membabitkan lima kenderaan iaitu dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) itu turut menyebabkan 33 lagi iaitu penumpang sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang cedera.
Siasatan awal mendapati bas persiaran tersebut terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah yang menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan lain.
Kejadian itu menyebabkan lima penumpang MPV, pemandu bas persiaran serta seorang penumpangnya iaitu warga Singapura, Allahyarhamha Lamrah Asis Ali, 66 tahun, meninggal dunia.
Susulan kemalangan itu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, telah mengarahkan JPJ menerusi Bahagian Penguatkuasaan agar mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori serta bas yang terbabit dalam kemalangan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg