Seorang penunggang motosikal dibawa ke hospital selepas kemalangan di BKE berhampiran Pusat Pemeriksaan Woodlands sekitar tengah malam pada 14 Jun.
Kejadian ini merupakan yang terbaru dalam beberapa kemalangan yang berlaku berhampiran pusat pemeriksaan itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lapor The Straits Times.
Polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan itu yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di BKE menghala ke Pusat Pemeriksaan Woodlands pada sekitar 12.10 pagi.
Penunggang motosikal itu, seorang lelaki berusia 27 tahun, dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat, tambah mereka.
Gambar di Facebook menunjukkan kenderaan utiliti sukan Aion berwarna kuning dengan nombor plat Singapura dengan bahagian kiri belakangnya rosak teruk.
Sebuah motosikal dengan nombor plat Malaysia yang terbaring di belakang kereta itu kelihatan remuk, dengan bahagian-bahagiannya bertaburan di jalan raya.
Gambar lain menunjukkan seseorang terbaring sedang pemandu lain memantaunya.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Pada 26 Mei lalu, dua penunggang motosikal lelaki berusia 20-an tahun telah dibawa ke hospital selepas mereka terlibat dalam kemalangan pada sekitar 8 pagi, juga di BKE menghala ke PIE.
Ini berlaku dua hari selepas empat orang dibawa ke hospital berikutan kejadian perlanggaran awal pagi antara sebuah kereta dengan bas Causeway Link di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 24 Mei.
Pada 5 April lalu, seorang penunggang motosikal dibawa ke hospital selepas kemalangan dengan sebuah kereta di BKE menghala ke Pusat Pemeriksaan Woodlands pada sekitar 4 petang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg