Seorang pemandu kereta berusia 61 tahun telah ditahan selepas satu kemalangan di Bukit Batok pada 22 Disember yang mengorbankan seorang pejalan kaki warga emas.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan mereka dimaklumkan tentang kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan seorang pejalan kaki di Bukit Batok West Avenue 9, menuju Bukit Batok West Avenue 8, sekitar 5 petang pada 22 Disember.
Pihak berkuasa berkata seorang pejalan kaki lelaki berusia 79 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik SCDF.
Seorang lelaki berusia 61 tahun telah ditangkap kerana memandu tanpa waspada dan tidak memberi perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kematian, kata polis. Siasatan polis sedang giat dijalankan.
Menurut perangkaan Polis Trafik, terdapat 3,818 kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan dan kematian pada separuh pertama 2025.
Ini merupakan peningkatan sebanyak 8.9 peratus berbanding separuh pertama 2024.
“Kemalangan yang melibatkan pengguna jalan raya, terutamanya pejalan kaki warga emas dan penunggang motosikal, terus menyumbang kepada jumlah kematian dan kecederaan lalu lintas yang tidak seimbang,” kata Polis Trafik dalam satu laporan trafik pertengahan tahunnya.
Pada separuh pertama 2025, terdapat 116 kemalangan yang melibatkan pejalan kaki warga emas – meningkat daripada 98 pada separuh pertama 2024.
Kematian pejalan kaki warga emas akibat kemalangan juga meningkat lebih seganda kepada 15 pada separuh pertama 2025, daripada enam pada separuh pertama 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg