Seorang penunggang motosikal warga Singapura berusia 51 tahun meninggal dunia pada 16 November selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Johor.
Dalam satu kenyataan pada 16 November, Ketua Polis Daerah Kluang, Encik Bahrin Mohd Noh, berkata penunggang motosikal tersebut sedang dalam perjalanan menuju ke Kluang apabila kemalangan berlaku sekitar 4.30 petang di Jalan Batu Pahat-Mersing.
Encik Bahrin berkata penunggang motosikal tersebut cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
Penunggang motosikal itu kemudian berlanggar dengan sebuah kereta, yang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar MPV yang sebelumnya dipotong oleh mangsa.
Penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan serius dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu kereta itu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 43 tahun, mengalami kecederaan pada muka, dada dan kakinya.
Beliau menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang.
Dalam kenyataan mereka, polis Kluang menasihatkan para pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa antara satu sama lain bagi mengelakkan kemalangan.
Mereka juga meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi pihak polis.
Akhbar The Straits Times (ST) telah menghubungi Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg