Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyedia latihan SkillsFuture dilarang guna khidmat pihak ketiga bagi pemasaran

Oct 8, 2025 | 5:48 PM
skillsfuture, pemasaran, dilarang, 1 Dis
Penyedia latihan boleh terus menggunakan sumber dalaman untuk memasarkan kursus mereka secara langsung kepada pelajar, atau bekerjasama dengan perantara yang ditetapkan oleh SkillsFuture Singapura (SSG). - Foto fail

Penyedia latihan yang berdaftar di bawah SkillsFuture Singapura (SSG) akan dilarang daripada menggunakan pihak ketiga untuk mempromosikan, mengiklankan atau memasarkan kursus mereka kepada pelajar mulai 1 Disember.

Larangan itu merangkumi usaha mendekati individu atau syarikat serta mempromosikan kursus kepada mereka melalui interaksi secara langsung, panggilan telefon, wadah sembang seperti WhatsApp dan Telegram, serta platform media sosial.

Langkah itu diambil selepas terdapat peningkatan maklum balas awam mengenai amalan pemasaran yang tidak diingini melibatkan pihak ketiga sepanjang 2024.

Demikian menurut SSG dalam kenyataan pada 8 Oktober, lapor The Straits Times (ST).

Antara kes yang dilaporkan termasuk ejen pihak ketiga yang menawarkan ganjaran bagi menggalakkan pendaftaran kursus, serta memujuk bakal peserta latihan untuk mendaftar kursus yang mereka tidak penuhi syarat kemahiran minimum. 

“SSG menyedari risiko tinggi terhadap orang awam yang terdedah kepada penipuan, janji berlebihan atau pengaruh tidak wajar apabila pihak ketiga terlibat.

“Jika tidak dikawal, amalan buruk ini mungkin akan berleluasa, mencemarkan reputasi sektor latihan dan memudarkan minat untuk belajar.

“Ia juga boleh mengakibatkan kebocoran data peribadi apabila ejen pihak ketiga meminta data tersebut untuk memudahkan pendaftaran kursus,” jelas SSG.

Mulai 1 Disember, pihak ketiga tidak akan dibenarkan berhubung secara langsung dengan pelajar, mengakses data mereka untuk pemasaran dan urusan pendaftaran kursus, atau mewakili pihak penyedia latihan, kata SSG.

Pendekatan proaktif itu melarang ejen pemasaran pihak ketiga mempromosikan kursus secara langsung kepada pelajar, bagi memastikan maklumat kursus tepat, telus, dan melindungi kepentingan mereka, serta membantu pelajar membuat pilihan lebih bijak berdasarkan mutu dan kesesuaian kursus.

Semua penyedia latihan yang berdaftar perlu membuat pengaturan yang diperlukan untuk mematuhi langkah ini mulai 1 Disember, kata SSG.

Penyedia latihan masih boleh menggunakan sumber dalaman dalam memasarkan kursus mereka secara langsung kepada pelajar, atau bekerjasama dengan perantara yang dilantik oleh SSG.

“SSG mengiktiraf dalam keadaan tertentu, adalah bermanfaat bagi penyedia latihan berdaftar untuk bekerjasama dengan SkillsFuture Queen Bees, Skills Development Partners dan perantara lain yang dilantik oleh SSG atau agensi awam lain untuk membantu menjangkau segmen-segmen tertentu dalam kalangan syarikat atau karyawan,” tambahnya.

“Perantara seperti ini membantu dalam membentuk latihan yang berkesan dan relevan untuk kumpulan yang mereka layani, sambil mengumpulkan permintaan untuk penyedia latihan yang berdaftar.

“Kerjasama seperti ini boleh melibatkan kegiatan pemasaran dan promosi, yang masih dibenarkan,” tambahnya.

Selain entiti yang dilantik, penyedia latihan yang berdaftar, yang ingin menggunakan sokongan pihak ketiga untuk usaha pemasaran mesti menulis kepada SSG untuk mendapatkan kelulusan.

Permohonan akan dinilai mengikut kes.

Orang ramai boleh memberikan maklum balas mengenai amalan pemasaran yang tidak mematuhi peraturan oleh penyedia latihan yang berdaftar melalui portal maklum balas SSG di https://service-portal.skillsfuture.gov.sg/s/feedback

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg