Terdapat ‘risiko sederhana’ jerebu teruk menjejas Singapura, Malaysia dan Indonesia pada 2025.
Demikian menurut penilaian penyelidik tempatan dalam unjuran tahunan mereka.
Namun, penilaian oleh Institut Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) yang dikeluarkan pada 28 Julai menyatakan bahawa jika berlaku jerebu, ia dijangka tidak berpanjangan, lapor The Straits Times (ST).
Pada 2024, SIIA menyatakan terdapat ‘risiko rendah’ adanya jerebu rentas sempadan.
Penilaian itu dibuat berdasarkan perkembangan dalam tiga kawasan iaitu pasaran, cuaca dan dasar.
Dalam laporan tahunannya, SIIA menyatakan harga komoditi pertanian kekal tinggi, termasuk minyak sawit serta pulpa dan kertas.
“Harga tahun ini (2025) meningkat, dan anggaran menunjukkan sedikit peningkatan dalam penebangan hutan di Indonesia dari 2023 ke 2024,” kata laporan tersebut.
Penebangan hutan menggunakan teknik pembakaran dapat menyebabkan kebakaran hutan yang mengeluarkan asap dan jerebu.
Harga komoditi pertanian yang tinggi mungkin disebabkan oleh permintaan sejagat dan serantau yang meningkat, manakala terdapat kekurangan bekalan.
Cuaca kering dan projek makanan serta tenaga baru Indonesia juga boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan.
SIIA menilai risiko jerebu rentas sempadan menggunakan skala tiga tahap iaitu hijau, kuning dan merah.
Hijau merujuk pada risiko rendah dan merah menunjukkan risiko tinggi.
Laporan menyatakan risiko sederhana jerebu rentas sempadan pada 2025, berbanding dengan risiko rendah pada 2024, adalah satu perubahan yang membimbangkan.
“Pada awal tahun, banyak ramalan cuaca menunjukkan musim jerebu yang agak sederhana,” kata Pengerusi SIIA, Profesor Madya Simon Tay.
“Namun, jelas bahawa risiko kebakaran dan jerebu meningkat, bukan hanya kerana cuaca, bahkan juga perubahan dalam ekonomi serta dasar sejagat,” tambahnya.
“Jika dinilai sebulan lalu (Jun), kami mungkin memberi penilaian hijau, tetapi kebakaran dan keadaan pasaran memerlukan lebih perhatian,” kata Profesor Tay.
Laporan tahunan jerebu SIIA dikeluarkan selepas peningkatan titik panas dan asap jerebu di Sumatera, Indonesia, pada pertengahan Julai.
Jerebu rentas sempadan dilaporkan tersebar dari Sumatera tengah ke Semenanjung Malaysia, namun Singapura tidak terjejas akibat tiupan angin yang bertentangan.
Menurut Agensi Kaji Cuaca Indonesia, jumlah titik panas di Sumatera meningkat daripada 94 ke lebih 1,000 dalam 10 hari pada Julai.
Pencemaran asap merebak ke Malaysia, dengan empat lokasi mencatat bacaan tidak sihat pada 22 Julai.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) Singapura meramalkan keadaan kering akan berterusan di kawasan Asean selatan, kecuali hujan di beberapa kawasan Sumatera, Jawa dan Borneo.
Keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan titik panas dan jerebu rentas sempadan.
Sehingga 28 Julai, mutu udara di Singapura berada pada tahap baik hingga sederhana.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg