Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyelidikan dilancar tangani cabaran kesihatan otak, fungsi jasmani

Penyelidikan ke atas langkah pencegahan, terapeutik sedang penduduk S’pura kian menua
Dec 5, 2025 | 7:00 PM
Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030, kesihatan, penduduk menua
Rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 dilancarkan oleh Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong (tengah); Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat (kiri); dan Setiausaha Tetap NRF, Profesor Tan Chorh Chuan, pada 5 Disember di Hotel Shangri-La. - Foto ZAOBAO

Singapura akan memulakan penyelidikan untuk menangani jurang dalam mengekalkan kesihatan otak dan fungsi jasmani apabila penduduk menua, menurut Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

Penyelidikan tersebut akan dilakukan menerusi satu program di bawah Rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan (RIE) 2030 mulai April 2026 yang digelar ‘Cabaran Utama RIE dalam Memaksimumkan Umur Panjang yang Sihat dan Cemerlang’.

Penduduk berbilang etnik Singapura serta sistemnya yang padat dan bersepadu akan dimanfaatkan bagi membolehkan penyelidikan ke atas langkah pencegahan atau terapeutik.

“Menjadi sebuah masyarakat super-aged (menua pesat) akan membawa implikasi besar kepada masyarakat, sistem penjagaan kesihatan dan sosial, serta pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada masa ini, rakyat Singapura hidup sekitar 10 tahun lebih lama daripada tempoh mereka kekal sihat, satu jurang kritikal yang perlu ditangani,” kata NRF.

Ini merupakan antara bidang penyelidikan yang digariskan dalam rancangan RIE 2030 yang dibentangkan pada 5 Disember.

Dalam pada itu, isu berkaitan penuaan seperti kemerosotan kognitif dan demensia, serta kerapuhan dan beban muskuloskeletal (MSK) adalah isu yang akan dihadapi penduduk menua.

Dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun ke atas, 8.8 peratus menghadapi demensia dan kira-kira 21 peratus mengalami kemerosotan kognitif ringan (MCI).

Kededua demensia dan MCI akan menjadi semakin lazim seiring peningkatan usia, dengan sekitar separuh daripada orang dewasa berumur 85 tahun ke atas hidup dengan demensia dan lebih 150,000 rakyat Singapura dijangka hidup dengan demensia menjelang 2030, kata NRF.

Di samping itu, gangguan MSK menyumbang kira-kira 20.7 peratus daripada jangka hayat dengan ketidakupayaan di Singapura.

Kerapuhan selalunya mencerminkan kemerosotan MSK yang boleh menyebabkan pemulihan lebih perlahan, tempoh kemasukan ke hospital lebih lama, serta peningkatan keperluan penjagaan.

Sebanyak $37 bilion dilaburkan dalam empat bidang tumpuan.

Perkilangan, Perdagangan dan Kesalinghubungan (MTC)

  1. A*Star dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) akan mengetuai program perdana semikonduktor RIE 2030.
  2. Memperkukuh kedudukan Singapura sebagai nod global bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) Aeroangkasa serta Perkilangan.
  3. Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperdalam usaha R&D dalam rantaian bekalan dan pengangkutan.

Negara Bijak dan Ekonomi Digital (SNDE)

  1. Bangunkan keupayaan mendalam dalam kecerdasan buatan (AI), Kuantum dan Kepercayaan dan Keselamatan Digital.
  2. Kerjasama dengan perusahaan tempatan dan makmal korporat yang mempunyai keupayaan R&D serta kejuruteraan.
  3. Memperkukuh penterjemahan penyelidikan, serta menumpukan kepada pembentukan bakat.

Penyelesaian Bandar dan Kemampanan (USS)

  1. Meningkatkan usaha R&D dalam mitigasi iklim, adaptasi, dan sistem bandar mampan, termasuk teknologi rendah karbon, sains iklim dan adaptasi.
  2. Mengembangkan sokongan pembiayaan bagi aktiviti penterjemahan seperti pengkomersialan produk, pengesahan, ujian lapangan (testbedding) dan demonstrasi.
  3. Menubuhkan Pusat Cemerlang dan membangunkan bakat penyelidikan serta pakar kejuruteraan.

Kesihatan dan Potensi Manusia (HHP)

  1. Program Perubatan Ketepatan Nasional (NPM) akan diperluaskan untuk merangkumi 400,000 hingga 450,000 peserta menjelang 2031, dengan penjujukan genom (genome sequencing) penuh bagi sekitar 10 peratus rakyat Singapura.
  2. Memperkukuh kedudukan Singapura sebagai Hab Biomedtech dan Bioperkilangan Global.
  3. Tumpuan kepada kesihatan dan perkembangan remaja, serta kognisi dan pemerolehan kemahiran dalam kehidupan bekerja.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg