Terdapat kisah di sebalik setiap burung peliharaan yang berkicau di dalam sangkar.
Namun, tidak ramai yang berhenti sejenak untuk memikirkan tentangnya meskipun mereka gemar mendengar kicauan yang dihasilkan burung itu.
Bagi kebanyakan burung yang diseludup di Asia Tenggara, cerita biasanya bermula dengan perangkap burung.
Dari situ, burung itu kemudian dimasukkan ke dalam kotak yang penuh sesak dan gelap. Burung itu terpaksa bertahan lama dalam mengharungi perjalanan jauh sebelum tiba .
Jika burung itu masih hidup, mereka akan dimasukkan ke dalam sangkar dan dijual di pasar atau kedai haiwan peliharaan.
Perjalanan perit itu bukan rekaan semata-mata.
Demikian pendedahan seorang pemilik kedai haiwan peliharaan, Leow Seng Lee, dan dua lagi suspek yang telah dijatuhi hukuman kerana penyeludupan burung dari Malaysia dan dijual secara haram di Singapura.
Leow telah dijatuhi hukuman penjara selama 68 minggu, lapor The Straits Times.
Kes itu dibongkar menyusuli rampasan sebuah treler pada 23 Mac 2023 di sempadan Malaysia-Singapura yang menemukan 337 burung di dalamnya.
Siasatan lanjut ke atas lapan kes penyeludupan burung sebelum ini menemukan lebih 900 burung dan ada kaitan dengan rangkaian penyeludupan sekurang-kurangnya 1,137 burung selama dua bulan.
Ini merupakan jumlah penyeludupan burung yang tertinggi setakat ini.
Jumlah kematian burung yang disebabkan penyeludupan juga tinggi dan kejadian pada Mac 2023 itu menemukan lebih separuh burung yang cuba diseludup telah mati.
Satu daripada spesies yang ditemui mati ialah burung ‘white-rumped shama’, burung ‘penyanyi’ paling digemari di Asia namun menghadapi ancaman pupus disebabkan kes penyeludupan burung.
Tiga orang yang dijatuhi hukuman adalah pemandu treler rakyat Malaysia yang telah terlibat dalam 10 penghantaran secara haram dari Johor, seorang lagi menjadi orang tengah menghubungkan pembekal burung di Malaysia dan tempat lain, dan Leow.
Leow menggunakan kedai haiwan peliharaannya yang sah sebagai tempat jualan burung yang telah diseludup.
Kes itu juga menunjukkan bahawa dalam kes perdagangan hidupan liar haram, tiada sesiapa terlepas daripada menjadi suspek walaupun dilihat menggunakan tempat atau operasi yang sah.
Kerjasama antara Lembaga Taman Negara (NParks), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan pihak pendakwa raya berjaya menangkap dan menghukum mereka yang terlibat dalam kes penyeludupan itu.
Namun, penyeludupan burung di sempadan Malaysia-Singapura masih berlaku.
Data daripada rangkaian pemantauan perdagangan hidupan liar, Traffic, menunjukkan sebanyak 2,130 burung dirampas di Singapura dan 10,553 pula di Malaysia sejak 2014.
Rangkaian itu melaporkan sebanyak 19,025 burung yang cuba diseludup, telah dirampas di kawasan Asia Tenggara pada jangka masa sama.
Satu lagi kes penyeludupan pada 2019 di Pusat Pemeriksaan Woodlands telah menemukan 815 burung di dalam bas berdaftar di Malaysia.
Pemeriksaan lanjut masih dilakukan terhadap pembekal burung dan tempat pengambilan di Malaysia.
Penelitian dan pemantauan bersama pihak Malaysia dan Singapura mesti diteruskan untuk menentang penyeludupan hidupan liar rentas sempadan kedua-dua negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg