LONDON: Pengurus Manchester City Pep Guardiola berkata beliau ingin semua 115 dakwaan kewangan Liga Perdana terhadap kelab tersebut ditangani “secepat mungkin”.
Pada Februari, City didakwa melanggar peraturan kewangan liga dari 2009 hingga 2018.
Mereka juga dituduh tidak bekerjasama dalam siasatan yang bermula pada Disember 2018.
City telah menafikan sebarang salah laku berkaitan perihal kewangan dan berkata mereka tidak bersalah serta mempunyai bukti kukuh yang tidak boleh dinafikan, dan mereka teruja menantikan hal itu diselesaikan dengan sebaik mungkin.
Satu larangan selama dua tahun daripada pertandingan Eropah kerana melanggar peraturan Permainan Adil dari segi Kewangan (FFP) telah diubah oleh Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS) pada 2020, namun City didenda 10 juta euro ($14.5 juta) kerana menghalang siasatan.
Sebelum ini, City menyatakan yang mereka gembira mematuhi proses Liga Perdana, namun hanya mendiamkan diri berkaitan laporan media terkini yang menyatakan mereka mencabar perundangan terhadap dakwaan tersebut.
Mereka juga menolak pelantikan Murray Rosen KC sebagai pengerusi suruhanjaya bebas yang akan mendengar perbicaraan tersebut memandangkan beliau pemegang tiket musim Arsenal.
Bercakap sebelum perlawanan menentang Brighton pada Rabu, Guardiola, yang telah memimpin kelab itu memenangi kejuaraan kelima Liga Perdana dalam enam musim dan ketiga secara berturut-turut, berkata:
“Apa yang saya inginkan ialah Liga Perdana dan hakim menyelesaikannya secepat mungkin.
“Dan sekiranya kami melakukan kesalahan, semua orang akan tahu dan, sekiranya kami telah melakukan perkara yang betul sebagai sebuah kelab, maka orang ramai akan berhenti membincangkannya.
“Saya harap mereka tidak begitu sibuk dan para hakim boleh melihat dari semua sudut dan uruskan apa yang terbaik, kerana akhirnya saya tahu yang kami menang secara adil di padang dan kami tidak ada keraguan,” kata beliau.
“Jom. Jangan tunggu dua tahun. Kenapa kita tak buat lebih cepat? Dalam 24 jam, duduklah dengan peguam yang hadir. Mari kita buat secepat mungkin untuk manfaat semua.” – Agensi berita.
Beliau menambah:
“Marilah kita cuba selesaikannya secepat mungkin, usah tunggu sehingga dua tahun.
“Dalam tempoh 24 jam, mari berbual dengan peguam. Marilah kita lakukannya secepat mungkin demi kebaikan semua.”
Para pegawai City tidak jangkakan bahawa Guardiola akan timbulkan tentang isu itu dalam sidang medianya pada Selasa dan skala masanya tidak mungkin dicapai berdasarkan kes yang dianggap kompleks itu.
Pasukan bimbingan Guardiola mampu menang tiga kejuaraan atau “treble”, dengan final Piala FA dan Liga Juara-juara semakin hampir pada Jun depan.
Dalam bola sepak England, hanya Manchester United yang telah meraih pencapaian “treble” pada musim 1998 hingga 1999.
Guardiola yang mempunyai kontrak dengan City sehingga 2025 berkata beliau tidak akan tinggalkan kelab itu sedang dakwaan tersebut belum diselesaikan.
“Saya akan kekal pada musim akan datang sedang masih ada 110 kesalahan yang dikenakan terhadap kami,” katanya. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg