Satu pertengkaran pada awal pagi 26 Julai membawa kepada pergaduhan fizikal di sepanjang Liang Seah Street di Bugis.
Kejadian itu berlaku pada 3 pagi, berhampiran sebuah kedai pencuci mulut popular yang sudah ditutup pada waktu itu.
Seorang saksi yang dikenali sebagai Cik Zheng, 33, memberitahu akhbar harian Shin Min bahawa beliau sedang menunggu kereta sewa privet apabila kejadian itu berlaku.
“Mereka saling menjerit antara satu sama lain, dan kemudian ia bertukar menjadi pergaduhan besar,” kata Cik Zheng.
Rakaman video yang diberikan oleh Cik Zheng menunjukkan lebih 10 orang terlibat dalam pertengkaran hangat di jalan raya yang selalunya agak sunyi itu.
Ada yang saling menolak, manakala yang lain hanya berdiri dan memerhati.
Seorang wanita kelihatan duduk di lantai, dengan meja dan kerusi yang terbalik bersepah di sekelilingnya.
Bunyi perabot dilontar juga kedengaran di latar belakang.
Cik Zheng menambah bahawa beliau melihat beberapa orang bergerak ke arahnya, lantas menyebabkan beliau segera beredar dari kawasan itu.
Apabila wartawan dari Shin Min melawat lokasi kejadian pada petang itu, seorang kakitangan di kedai pencuci mulut tersebut mengesahkan bahawa salah sebuah meja mereka di luar telah diterbalikkan.
Walau bagaimanapun, mereka menambah bahawa mereka tidak tahu apa yang telah berlaku.
Seorang pekerja lelaki di sebuah premis berdekatan menyatakan bahawa terdapat beberapa kelab malam dan bar yang beroperasi di kawasan sekitar dan pergaduhan dalam kalangan pelanggan yang mabuk bukanlah sesuatu yang luar biasa pada hujung minggu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg