Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peralihan kepimpinan satu mercu tanda penting untuk S’pura

SM Lee lahir keyakinan terhadap kepimpinan baru, barisan calon PAP yang diperbaharui
Apr 19, 2025 | 8:03 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di sidang media di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Teck Ghee pada 19 April.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di sidang media di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Teck Ghee pada 19 April. - Foto ZAOBAO

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menyifatkan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sebagai detik penting dalam kesinambungan dan pembaharuan, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi untuk Singapura juga.

Bercakap dalam satu sidang media menjelang GE2025 di cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Teck Ghee pada 19 April, Encik Lee memberi gambaran tentang peranannya dalam pilihan raya kali ini setelah menyerahkan pucuk pimpinan kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Kali ini berbeza bagi saya. Saya bukan lagi Perdana Menteri. Saya sangat gembira kerana kita ada Perdana Menteri yang mantap, dan telah mengambil alih kepimpinan sejak setahun lalu (2024),” katanya, merujuk kepada Encik Wong.

“Saya menyertai pilihan raya ini dengan kepuasan tertentu. Perjalanan saya mungkin belum selesai sepenuhnya, tetapi satu mercu tanda penting telah berjaya dilalui — dan mercu tanda ini bukan sahaja bagi saya, tetapi juga bagi Singapura,” ujar beliau.

Encik Lee, yang meletak jawatan pada Mei 2024, selepas hampir dua dekad memimpin negara sebagai Perdana Menteri melahirkan keyakinannya terhadap kepimpinan baru dan barisan calon PAP yang diperbaharui.

Walaupun belum pasti sama ada ini akan menjadi penggal terakhirnya, Encik Lee menegaskan beliau akan terus berkhidmat selagi khidmatnya diperlukan, sebagaimana jelasnya: “Selagi saya berguna dan selagi Perdana Menteri merasakan saya berguna.”

Beliau dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio sejak 2001 dan jika dipilih sekali lagi sebagai AP, ini merupakan penggalnya keenam.

Sebelum itu, beliau telah mewakili SMC Teck Ghee (1984-1991), dan Divisyen Teck Ghee di bawah GRC Thomson (1991-2001), sebelum SMC itu digabungkan untuk menjadi GRC.

Antara lain, Encik Lee juga memuji 32 muka baru yang diperkenalkan semasa pelancaran manifesto PAP pada 17 April, menyifatkan mereka sebagai individu yang “pelbagai, komited dan bersemangat” membawa pelbagai latar belakang dan pengalaman dan beliau yakin mereka akan memberi sumbangan besar kepada Singapura.

Menekankan kepentingan pembaharuan politik, Encik Lee mengakui bukan mudah bagi sesetengah AP untuk berundur.

“Ia sentiasa sukar, terutamanya bagi mereka yang belum berkhidmat begitu lama. Tetapi pembaharuan adalah satu proses yang penting,” katanya.

Beliau turut mengulas tentang usaha menempatkan semula secara strategik calon-calon seperti Encik Ng Chee Meng dan Encik Victor Lye, yang kembali bertanding selepas tewas dalam pilihan raya sebelum ini.

Encik Lee menegaskan keputusan ini bukanlah dianggap sebagai “hadiah sagu hati,” tetapi langkah yang dikira berdasarkan kekuatan dan sumbangan individu di kawasan masing-masing.

“Mereka telah bertanding, tidak berjaya, tetapi mempunyai semangat untuk bangkit semula dan bertanding sekali lagi. Itu menunjukkan kegigihan yang sangat berharga,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg