Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeranan kariah diperluas, dekatkan warga emas, penghuni flat sewa dengan program masjid
Peranan kariah diperluas, dekatkan warga emas, penghuni flat sewa dengan program masjid
Peranan kariah diperluas, dekatkan warga emas, penghuni flat sewa dengan program masjid
Rangkaian kariah setempat yang kebanyakannya menganjurkan solat tarawih dan solat Hari Raya dalam kejiranan akan mendapat sokongan untuk menghubungkan penduduk dengan program masjid.
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), buat masa ini, beberapa kariah sudah mula mengorak langkah mendekati kalangan penduduk termasuk penghuni flat sewa dan warga emas yang tinggal sendirian.
Menerusi Rangkaian Qaryah 2.0, MUIS dan rangkaian masjid setempat kini meluaskan peranan kariah melangkaui batas ibadah khusus semata-mata.
Usaha itu antara lain memberi tumpuan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada sokongan, termasuk penduduk di blok flat sewa.
Jurucakap rangkaian kariah, Encik Ahmadusshafa Zainudin, berkata matlamat Rangkaian Qaryah 2.0 adalah untuk mendekatkan masjid kepada penduduk dan masyarakat.
“Dengan mendekati mereka di kawasan kejiranan, kami dapat memahami keperluan mereka dengan lebih baik, membina kepercayaan dan memastikan mereka terus terhubung dengan masyarakat,” kata Timbalan Pengurus Masjid Assyakirin itu.
Selain memberi tumpuan kepada penduduk di blok sewa, kariah juga memberi perhatian kepada warga emas, kata Encik Ahmadusshafa.
“Kami mahu setiap penduduk tahu bahawa walaupun mereka tidak dapat datang ke masjid, masjid tidak pernah melupakan mereka.
“Masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi juga tempat masyarakat mendapatkan sokongan, menjalin hubungan dan saling membantu dalam mengharungi pelbagai fasa kehidupan,” tambahnya.
Terdapat lebih 50 kariah di Singapura, yang kebanyakannya menganjurkan solat tarawih dan solat Hari Raya, kata MUIS, menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM).
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata masyarakat telah meletakkan kepercayaan mereka kepada masjid, asatizah dan pemimpin, dan untuk terus meraih kepercayaan itu pada hari ini, erti mendekati masyarakat perlu difikirkan semula.
“Tidak lagi memadai sekadar membuka pintu masjid dan mendekati mereka yang datang ke masjid.
“Kita perlu mendampingi masyarakat di mana-mana sahaja mereka berada, memahami cabaran yang mereka hadapi dan mencari jalan untuk mendekati mereka lebih awal – sama ada di kawasan kejiranan, melalui rangkaian kariah mahupun, yang semakin penting pada masa kini, di ruang digital,” ujar Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan).
Beliau berkata demikian semasa berucap kepada sekitar 350 tetamu yang terdiri daripada pemimpin masjid dan kumpulan kariah di Perhimpunan Sektor Satu Masjid (OMS) di Safra Choa Chu Kang pada 10 Oktober.
Dalam pada itu, usaha kariah setempat untuk mendekati masyarakat boleh dibahagikan kepada tiga bidang tumpuan, kata Encik Ahmadusshafa.
Qaryah 2.0 memberi tumpuan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada sokongan, khususnya penduduk di blok sewa.
QaryahKITA mendekatkan kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan kepada penduduk di kawasan kejiranan yang lebih luas.
Qaryah Emas pula memberi perhatian kepada warga emas, khususnya mereka yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke masjid secara kerap.
Di Daerah Barat, projek Qaryah 2.0 antara Masjid Al-Khair dengan Masjid Assyakirin membawa pendidikan Islam berasaskan rumah kepada keluarga di blok sewa.
Projek itu menyepadukan solat berjemaah, modul pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat serta usaha mendekati masyarakat melalui program kebajikan dan keagamaan sepanjang tahun.
Menjelang hujung 2026, Masjid Hasanah akan merintis program Qaryah Emas yang akan menghubungkan warga emas kepada masjid tempatan, mengukuhkan rangkaian sosial dan menganjurkan kegiatan yang relevan dengan keperluan mereka.