Pengorbanan adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia.
Ia seakan-akan membenarkan ungkapan tiada kehidupan tanpa pengorbanan – menjadi satu fitrah dan peraturan kehidupan sejagat.
Namun, pengorbanan sebahagian manusia terbatas kepada kejayaan di dunia semata-mata.
“Tetapi kita sebagai orang yang beriman kepada hari akhirat sudah tentu mengharapkan kejayaan di dunia dan juga akhirat.
“Malah apa saja pengorbanan kita akan menjadi bukti nyata keimanan kita pada hari pembalasan kelak,” kata Ustazah Dr Rabia Hanifa daripada Jabatan Dirasat Islamiah, di Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Menurutnya, kesanggupan kita untuk berkorban boleh menjadi tanda aras tahap keimanan dan keyakinan kita terhadap janji Maha Pencipta.
Itulah yang membuatkan Nabi Ibrahim as sanggup membawa puteranya, Ismail, dan isterinya, Siti Hajar, ke bumi Makkah dan meninggalkan mereka berdua di sana kerana mahu melaksanakan perintah Allah swt, katanya.
Demikian pula contoh yang ditunjukkan oleh isterinya iaitu ibu kepada puteranya yang masih bayi, yang selalu memerlukan tiang seri bagi keluarga sebagai suami dan bapa.
Kemudian lihat pula kesediaan Ismail yang bersedia dikorbankan jika itu perintah daripada Allah swt.
Pengorbanan, menurut Ustazah Dr Rabia, ialah mengoptimumkan semua daya upaya kita dalam sesuatu urusan hidup, sama ada jiwa dan harta, masa dan usia, ataupun usaha dan kemahuan kita, demi mengharap reda Allah swt.
“Ini adalah asas penting dalam pembentukan insan dan keluarga yang benar-benar beriman dan bertakwa.
“Takwa adalah matlamat utama segala risalah para Rasul, penurunan wahyu, dan pelaksanaan ibadah.
“Namun, untuk mencapai takwa, ia menuntut pengorbanan yang besar, bukan sahaja pada peringkat individu, malah dalam lingkungan keluarga dan masyarakat.
“Dalam konteks pendidikan Islam, institusi madrasah, tidak kira di mana jua, berdiri hasil daripada pengorbanan pelbagai pihak.
“Di sinilah kita melihat betapa besarnya peranan yang dimainkan oleh pelajar, asatizah, pentadbir, dan tenaga sokongan dalam memastikan madrasah terus berfungsi dan berkembang.
“Setiap mereka menyumbang dengan cara tersendiri – ada yang menyumbang masa, tenaga, dan ada juga yang berkorban dalam bentuk lain demi mendidik dan membentuk generasi akan datang,” jelas Ustazah Dr Rabia.
Beliau menambah, madrasah bukan hanya tempat belajar, bahkan medan untuk melatih nilai Ilahi, membina akhlak, dan mengasuh pemimpin masa hadapan.
“Kejayaan madrasah adalah kejayaan masyarakat. Dan setiap pengorbanan yang lahir daripada takwa, biarpun kecil, pasti ada nilainya di sisi Allah,” ujarnya.
Ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun menjadi simbol kepada semangat ini.
Seperti firman oleh Allah swt bahawa bukanlah daging atau darah yang sampai kepada-Nya, bahkan keikhlasan dan takwa dalam amal itulah yang dinilai.
Begitu jugalah dengan segala bentuk pengorbanan di madrasah dan masyarakat, tanpa keimanan dan takwa, ia akan hilang nilai dan arah.
“Di Madrasah Aljunied, perjalanan mendidik bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi satu amanah besar yang menuntut pengorbanan yang ikhlas dan berterusan.
“Para guru mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan ilmu yang disampaikan adalah yang terbaik dan sesuai dengan perkembangan zaman.
“Pengorbanan pelajar pula bukan sekadar mencapai kejayaan akademik, malah sebagai latihan membentuk jiwa besar yang bersedia menghadapi dunia dengan prinsip dan nilai Islam,” katanya.
Pengorbanan itu mencerminkan semangat yang diwarisi daripada kisah agung keluarga Nabi Ibrahim as dan isterinya, Siti Hajar.
“Kisah ini mengajar kita bahawa pengorbanan yang berpaksikan iman dan tawakal akan sentiasa membuahkan hasil yang besar, sekalipun tidak terlihat dengan segera.
“Semoga segala pengorbanan yang dilakukan oleh guru dan pelajar ini, seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim as dan Siti Hajar, menjadi asbab kepada keberkatan dan kejayaan umat Islam kini dan akan datang,” ujar Ustazah Dr Rabia.
Sempena ketibaan Zulhijah 1446 Hijrah, Madrasah Aljunied sekali lagi menganjurkan Program Korban sebagai salah satu usaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam yang menyeluruh.
Menurutnya, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban, malah peluang menyumbang kepada pembangunan madrasah, termasuk memperkasa sistem pembelajaran serta pembangunan profesional para guru.
“Seperti yang dinyatakan dalam Al-Quran dan hadis, 10 hari pertama Zulhijah merupakan antara hari terbaik dalam setahun, yang digalakkan untuk diperbanyakkan amal seperti puasa, tasbih, tahlil, takbir, haji, umrah dan penyembelihan korban.
“Melaksanakan ibadah korban dalam tempoh ini merupakan satu peluang keemasan yang penuh rahmat.
“Marilah kita sama-sama menyokong program korban ini sebagai mengambil inspirasi daripada keluarga Nabi Ibrahim as. Semoga kita sama-sama meraih kejayaan dunia dan akhirat bersama-sama dengan izin daripada Allah,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg