Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peranan mentor bukan hanya asuh pelajar ITE, pertingkat kepimpinan mentor

Oct 20, 2024 | 5:30 AM
Encik Rudi Rashid, 48 tahun, seorang Pakar Kanan dalam Sokongan Teknikal di MSD Pharma, menyertai program #amPowered@ITE sebagai seorang mentor pada 2023.
Encik Rudi Rashid, 48 tahun, seorang Pakar Kanan dalam Sokongan Teknikal di MSD Pharma, menyertai program #amPowered@ITE sebagai seorang mentor pada 2023. - Foto RUDI RASHID

Encik Rudi Rashid sentiasa memendam semangat yang mendalam untuk mengajar, bercita-cita untuk memberi inspirasi dan membimbing orang lain melalui pendidikan.

Meskipun tidak tertulis untuk menjadi seorang guru, keinginannya untuk membuat perubahan kepada masyarakat tidak pernah pudar.

Tatkala peluang menjadi mentor menerusi program #amPowered@ITE datang bergolek, Encik Rudi, 48 tahun yang bertugas sebagai pakar kanan dalam sokongan teknikal di MSD Pharma, merebutnya tanpa ragu.

Peranan mentor menjadi peluang baginya untuk memenuhi cita-citanya berkongsi pengetahuan, memupuk potensi, dan memberi kembali kepada generasi akan datang.

Encik Rudi menghargai setiap detik sebagai mentor, didorong dengan semangat yang membara untuk membimbing pelajar ke arah kejayaan dan membantu mereka menggali potensi sebenar mereka.

Beliau, yang bekerja di MSD Pharma selama enam tahun, berkata: “Sejak dahulu lagi hasrat untuk menjadi seorang guru sudah wujud tetapi kehidupan mempunyai rancangan berbeza untuk saya, jadi saya menceburi bidang lain.

“Walaupun hasrat tidak kesampaian, peluang untuk mengajar datang bergolek apabila MSD memperkenalkan program #amPowered@ITE pada 2023. Tanpa teragak-agak, saya mengambil peluang itu dan menjadi mentor kepada pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sehingga hari ini.”

Pada Februari 2023, Mendaki dan MSD Pharma (Singapura) menandatangani perkongsian membimbing korporat selama dua tahun untuk mentor belia sebagai sebahagian daripada Progam #amPowered@ITE.

“Membimbing adalah lebih daripada sekadar berkongsi pengetahuan. Seorang mentor itu harus mendengar, memahami dan menyesuaikan diri dengan keperluan unik setiap mentee. 

“Hubungan mentor dan mentee adalah hubungan dua hala. Terdapat banyak peluang untuk kededuanya saling belajar, sama ada mengenai minat, pendekatan berbeza untuk menyelesaikan masalah atau peluang yang luas dalam dunia korporat,” ujar Encik Rudi yang kini membimbing sekumpulan enam pelajar. 

Mengimbas kembali, Encik Rudi menjelaskan bagaimana beberapa menteenya pada mulanya teragak-agak dan tidak pasti tentang tujuan program itu.

Bagaimanapun, berkat kesabaran, empati dan mendengar secara aktif, Encik Rudi menemui cara untuk berhubung dengan mereka dengan lebih mendalam.

“Menyaksikan pertumbuhan dan kejayaan mentee saya memberikan kepuasan yang mendalam kepada diri saya. Ia menjadi peringatan tentang kesan positif yang dapat saya berikan dalam perjalanan hidup seseorang.”

Program tersebut dianggap sebagai “satu pengalaman yang membuka mata” bagi Encik Rudi terutamanya apabila berhubung dengan generasi berbeza. 

“Dari masa ke masa, saya telah memahami bahawa setiap generasi menghadapi cabaran dan perspektif yang tersendiri. Ini menjadikan saya lebih empati terhadap pandangan mereka, menjadikan saya pendengar yang lebih aktif dan seseorang yang mudah menyesuaikan diri.”

Kepada mereka yang mempertimbangkan untuk menjadi mentor, “mendekati peranan tersebut dengan fikiran dan hati yang terbuka”.

“Ia adalah tentang membina hubungan yang bermakna dan melaburkan masa untuk memahami serta membimbing mereka. Fleksibiliti dan kesabaran sangat penting, begitu juga dengan kesediaan untuk belajar daripada mereka, sama seperti kita mengajar mereka,” tambah beliau.

Melalui pengalaman beliau sendiri, Encik Rudi mengakui telah berkembang sebagai seorang pemimpin, menjadi lebih selaras dengan keperluan generasi baru.

“Saya berasa lebih bersedia untuk membimbing dan menyokong mereka dengan berkesan. Saya beriltizam untuk meneruskan peranan sebagai mentor untuk generasi pelapis kita, memberi inspirasi dan menaikkan semangat mereka dalam pertumbuhan peribadi dan profesional.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg