Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Lebih 400,000 raih manfaat dari program Mendaki sejak M³ ditubuh

Lebih 38,000 juga berjaya tingkat kemahiran dengan program seperti KelasMateMatika, Wanita di Tempat Kerja (W@W), Tunas Bersama M³
Oct 20, 2024 | 5:30 AM
(Dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (DCEO) Mendaki, Cik Zulaiha Yusuf; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, di sidang media Laporan 5-Tahun M³  pada 9 Oktober.
(Dari kiri) Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (DCEO) Mendaki, Cik Zulaiha Yusuf; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad; dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, di sidang media Laporan 5-Tahun M³  pada 9 Oktober. - Foto MENDAKI

Lebih 400,000 ibu bapa, kanak-kanak, pelajar, belia dan pencari kerja telah mendapat manfaat daripada program Mendaki dalam tempoh lima tahun sejak M3 dilancarkan, kata Timbalan Pengerusi Mendaki, Encik Zaqy Mohamad.

Dalam tempoh yang sama, lebih 38,000 individu juga telah berjaya meningkatkan kemahiran mereka melalui program seperti KelasMateMatika, Wanita di Tempat Kerja (W@W), Tunas Bersama M3 serta sokongan daripada Pejabat Pembimbing Belia dan Pejabat Penilaian Program.

Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), berkongsi angka tersebut di sidang media pada 9 Oktober semasa membentangkan Laporan Lima Tahun M3 oleh Mendaki di bangunan Yayasan Mendaki di Kee Sun Avenue.

Beliau disertai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang juga Pengerusi Bidang Tumpuan Keempat M3, serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (DCEO) Mendaki, Cik Zulaiha Yusuf.

Bercakap kepada media, Encik Zaqy berkata M3 telah ditubuhkan pada 2019 untuk menggembleng kekuatan dan sumber daripada tiga badan utama Melayu/Islam Singapura, iaitu Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).

Ini agar ketiga-tiga badan tersebut dapat membina dari kekuatan satu sama lain dan bekerjasama dengan pemerintah dan rakan kongsi masyarakat untuk memenuhi keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam dengan lebih baik.

Sejak itu, sebanyak 11 M3@Bandar telah dilancarkan yang bertujuan menyediakan platform kepada sukarelawan dan karyawan untuk bekerjasama bagi memenuhi keperluan penduduk.

“Pelancaran 11 M3@Bandar telah membolehkan kami mencapai jenis pencapaian yang kami sangat-sangat inginkan, kerana sebelum ini, orang ramai biasanya akan datang ke bangunan atau pejabat Mendaki sahaja.

“Hari ini, dengan sokongan rakan kongsi M3 dan M3@Bandar, kami dapat mencapai jangkauan yang lebih luas kerana program-program Mendaki boleh dibawa ke bandar-bandar itu sendiri,” kata Encik Zaqy.

KelasMateMatika (KMM)

Beliau menambah, sejak M3 dilancarkan lima tahun lalu, lebih 10,000 ibu bapa dan anak-anak telah mendaftar bagi program KMM yang bertujuan membantu ibu bapa dan anak-anak mereka dengan kemahiran matematik, memupuk kreativiti dan merapatkan hubungan keluarga.

Program sebelum ini, MajuMindaMatematika (Tiga M) yang dirintis pada 2002, berjaya menarik sekitar 300 ibu bapa dan kanak-kanak setiap tahun.

Bagaimanapun, dengan KMM, jumlah itu meningkat 10 kali ganda kepada lebih 3,000 setiap tahun setakat 2023, kata Encik Zaqy.

Memetik kajian oleh Pejabat Penilaian Program Mendaki pada 2022, Encik Zaqy berkata bahawa lapan daripada 10 kanak-kanak yang mengikuti program KMM tidak memerlukan sokongan pembelajaran apabila mereka memasuki Darjah 1.

Beliau turut mengetengahkan kajian oleh Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2022 yang menunjukkan kaitan yang kukuh antara Program Sokongan Pembelajaran untuk Matematik (LSM) dan pelajar yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Pelajar yang tidak ditempatkan dalam LSM semasa Darjah 1 menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam mata pelajaran Matematik semasa menduduki PSLE.

“Kami juga mendapati bahawa harapan dan penglibatan ibu bapa yang tinggi terus menjadi faktor kuat untuk memastikan anak-anak tidak memerlukan sokongan pembelajaran tambahan di sekolah.

“Ini sebabnya KMM merupakan program campur tangan awal yang penting untuk menyokong ibu bapa dan anak-anak,” kata Encik Zaqy.

Untuk terus melibatkan sebahagian besar keluarga Melayu muda, Cik Zulaiha berkata Mendaki akan terus bekerjasama dengan masjid-masjid tempatan dan badan-badan Melayu/Islam (MMO) untuk menawarkan program KMM di pusat prasekolah.

“Kami bekerjasama dengan prasekolah seperti tadika yang dikendalikan oleh badan-badan seperti Persatuan Muslim India Bersatu (Uima) dan Persatuan Muhammadiyah.

“Kami mahu memanfaatkan kemudahan, bilik darjah dan jangkauan mereka kerana mereka sudah mempunyai bilangan pelajar Melayu/Islam yang ramai. Jadi mereka adalah orang yang terbaik untuk mengenal pasti siapa sebenarnya yang memerlukan bantuan itu,” kata Cik Zulaiha.

Lebih ramai graduan, pekerja dalam peranan PMET

Selain menyokong keluarga muda dan kanak-kanak, Encik Zaqy berkata masyarakat Melayu/Islam juga telah mencapai kemajuan ketara dalam pendidikan sejak 2000 dengan sokongan Mendaki, khususnya dengan lebih ramai pelajar menamatkan pengajian di universiti dan memegang jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Kadar lulusan universiti Melayu sejak 2000 hingga 2020 telah meningkat daripada 2.1 peratus kepada 10.8 peratus, manakala kadar belia yang mempunyai kelayakan posmenengah atau lebih tinggi meningkat lebih dua kali ganda daripada sekitar 30 peratus kepada sekitar 80 peratus.

Kadar orang Melayu yang memegang jawatan PMET juga telah meningkat daripada 23.4 peratus kepada 39.0 peratus antara 2000 hingga 2020, tambahnya.

“Ini juga bermakna terdapat lebih ramai karyawan Melayu/Islam kini bekerja dalam pelbagai industri baru termasuk dalam sektor pertumbuhan,” tambahnya

Menyumbang kembali kepada masyarakat

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Mendaki akan terus melibatkan lebih ramai karyawan untuk berkhidmat melalui 13 Rangkaian Karyawan Mendaki, yang dilancarkan pada 2024, untuk membimbing dan menggalak lebih ramai belia mempertimbangkan kerjaya dalam sektor baru muncul.

Encik Zaqy menambah bahawa dengan lebih ramai karyawan Melayu/Islam dalam masyarakat, ia juga penting untuk menggalak mereka menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sehingga kini, Encik Zaqy berkata lebih 1,000 karyawan sudah giat secara sukarela dalam pelbagai inisiatif Mendaki dan M3 , termasuk program pementoran.

Lebih 1,600 mentor termasuk karyawan juga telah dilatih dan dikerah oleh Pejabat Pementoran Belia Mendaki untuk menyokong lebih 5,700 menti melalui pelbagai program pementoran di bawah Bidang Tumpuan Ketiga M3 .

“Pelancaran 11 M³@Bandar telah membolehkan kami mencapai jenis pencapaian yang kami sangat-sangat inginkan, kerana sebelum ini, orang ramai biasanya akan datang ke bangunan atau pejabat Mendaki sahaja. Hari ini, dengan sokongan rakan kongsi M³ dan M³@Bandar, kami dapat mencapai jangkauan yang lebih luas kerana program-program Mendaki boleh dibawa ke bandar-bandar itu sendiri.”
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg