Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kembali ke sektor jagaan kesihatan selepas lebih lima tahun tidak kerja

Oct 20, 2024 | 5:30 AM
Cik Fatin Syafiqah Abdul Halim, 33 tahun, mendaftar program Wanita di Tempat Kerja (W@W) pada September 2023 dan menamatkan program tersebut pada Oktober 2023.
Cik Fatin Syafiqah Abdul Halim, 33 tahun, mendaftar program Wanita di Tempat Kerja (W@W) pada September 2023 dan menamatkan program tersebut pada Oktober 2023. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Setelah lima tahun menyandang jawatan sebagai jururawat pergigian di sebuah hospital pemerintah dan kemudian menjadi suri rumah tangga selama lebih lima tahun, Cik Fatin Syafiqah Abdul Halim menyedari sudah tiba masanya beliau melakukan sesuatu untuk dirinya sendiri.

Tidak pasti cara memulakannya, Cik Fatin, 33 tahun, menemui program Wanita di Tempat Kerja (W@W) di media sosial dan memutuskan untuk mendaftar bagi program itu.

Program lima hari itu telah melengkapkan beliau dengan kemahiran penting dan meningkatkan keyakinannya.

Dengan ilmu yang diraih, beliau berjaya memasuki semula sebagai tenaga kerja dalam sektor penjagaan kesihatan sepenuh masa pada Mac. 

Cik Fatin, yang mempunyai anak perempuan berusia lapan tahun dan anak lelaki berusia empat tahun, berkata:

“Saya telah menjadi suri rumah tangga sejak Disember 2018. Sebahagian daripada rutin harian saya adalah menguruskan kerja rumah, menjaga anak dan menghantar mereka ke sekolah dan kelas tuisyen… semua tugas biasa ibu.”

Cik Fatin Syafiqah Abdul Halim (kanan) berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sejak Disember 2018 selama lebih lima tahun. Bersama beliau ialah dua anaknya, Yusuf Muhammad Zaid (kiri), empat tahun, dan Maryam Muhammad Zaid (tengah), lapan tahun.
Cik Fatin Syafiqah Abdul Halim (kanan) berhenti kerja dan menjadi suri rumah tangga sejak Disember 2018 selama lebih lima tahun. Bersama beliau ialah dua anaknya, Yusuf Muhammad Zaid (kiri), empat tahun, dan Maryam Muhammad Zaid (tengah), lapan tahun. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

“Saya mendapat tahu tentang program itu di media sosial yang ia menyokong golongan wanita kembali ke dunia pekerjaan. Kemudian, terdetik dalam fikiran saya bahawa ia adalah wadah yang baik lalu saya mendaftar tanpa ragu,” jelasnya, yang mendaftar bagi program itu pada September 2023.

Program W@W kendalian Mendaki menawarkan latihan untuk golongan wanita yang telah berhenti daripada kerjaya mereka disebabkan tanggungjawab penjagaan atau seumpamanya, untuk tingkatkan kemahiran dan memudahkan proses penukaran kerjaya apabila mereka memasuki semula alam pekerjaan.

“Kebanyakan peserta merupakan golongan ibu. Ia merupakan satu perasaan yang baik apabila mengetahui kita bersama-sama sedang belajar dan mengasah kemahiran sambil menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu,” ujar beliau, yang mengimbangi tuntutan keibuan dengan jadual program tersebut dengan sesi dalam talian melalui wadah Zoom dan bersua muka.

“Bagi saya, modul bertajuk ‘Tingkatkan Daya Kerja Anda’ sangat bermanfaat kerana saya mempelajari banyak tentang kemahiran dan kecekapan yang baru muncul dan terkait serta bagaimana dan di mana memanfaatkan kemahiran yang diperlukan untuk peranan pekerjaan yang berbeza,” kata Cik Fatin.

Antara cabaran yang dihadapinya tatkala ingin kembali bekerja semula adalah mengemas kini resumenya.

Setelah tidak bekerja lebih lima tahun, agak janggal dan perit baginya untuk mengingat kembali detik-detik perjalanan kerjayanya serta ilmu dan pengalaman yang telah diraih selama ini.

“Sebagai seseorang yang tidak bekerja selama lima tahun, saya menghadapi kesukaran mengisinya dan menonjolkan potensi saya kepada bakal majikan.

“Saya rasa masih terdapat stigma bahawa seseorang yang tidak bekerja beberapa tahun dianggap tidak relevan dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dengan baik,” jelas Cik Fatin, yang mengakui bahawa program seperti W@W banyak membantu merapatkan jurang tersebut dan mengasah kebolehan golongan wanita sejajar dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Sejurus tamat program tersebut pada Oktober 2023, Cik Fatin berasa lebih yakin dan bersedia.

Beliau berjaya kembali ke sektor penjagaan kesihatan sebagai juruawat pergigian sambilan sebelum bekerja sepenuh masa pada Mac 2024.

Cik Fatin memberitahu Berita Minggu (BM) beliau bersyukur dengan sumber yang sedia ada dan sokongan keluarganya yang tidak berbelah bahagi.

Bagi kaum Hawa lain yang ingin kembali ke tenaga kerja namun agak ragu, Cik Fatin menggesa mereka supaya mempercayai dan memberanikan diri.  

“Ambil masa anda. Mulakan dengan menyertai program W@W untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk meneruskan kerjaya dengan yakin.

“Dengan sokongan yang tepat, anda akan mendapati bahawa kembali bekerja adalah seperti menunggang basikal – setelah anda mula, ia akan menjadi sesuatu yang biasa,” kata beliau.

“Sebagai seseorang yang tidak bekerja selama lima tahun, saya menghadapi kesukaran mengisinya dan menonjolkan potensi saya kepada bakal majikan. Saya rasa masih terdapat stigma bahawa seseorang yang tidak bekerja beberapa tahun dianggap tidak relevan dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dengan baik.”
Cik Fatin Syafiqah Abdul Halim, peserta program Wanita di Tempat Kerja (W@W).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg