Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjaga keamanan, kestabilan dan kemakmuran dunia, termasuk di negara-negara Asean dan Presiden Donald Trump telah menunjukkan kepimpinan dan komitmennya terhadap usaha tersebut, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di Sidang Puncak Asean-Amerika Syarikat pada 26 Oktober di Kuala Lumpur, Malaysia, Encik Wong memuji Encik Trump atas kejayaannya untuk mendapatkan Pelan Damai antara Kemboja dengan Thailand, serta menjamin keamanan “untuk konflik dahsyat di Gaza dan Timur Tengah”.
Beliau juga mengalu-alukan “perhatian peribadi” Encik Trump untuk memerangi jenayah rentas sempadan, penipuan dalam talian dan dadah.
“Tuan Presiden, seperti yang anda sedia maklum, ini adalah satu bidang di mana Singapura mengambil pendekatan yang sangat tegas.
“Ia adalah bidang di mana kita mempunyai keyakinan yang sama dan kami menghargai sokongan berterusan anda agar kita terus tegas terhadap dadah,” kata Encik Wong.
Semasa ucapannya, Encik Wong juga berkata keadaan kestabilan dan keselamatan yang membolehkan Asean berkembang dan makmur, juga membolehkan rakyat dan perniagaan Amerika meraih manfaat daripada pertumbuhan di rantau ini.
Beliau menekankan bagaimana negara-negara di rantau ini membeli eksport Amerika dari semua 50 negeri Amerika - daripada jagung hinggalah pesawat Boeing - serta peralatan ketenteraan.
“Hubungan pelaburan dan perdagangan Amerika dengan rantau ini menyokong lebih daripada 600,000 pekerjaan Amerika yang baik.
“Asean, dengan jumlah penduduk hampir 700 juta, merupakan pasaran yang semakin berkembang untuk barangan dan perkhidmatan Amerika,” kata Encik Wong.
Menjelang akhir ucapannya, Encik Wong berkata Asean dan Amerika akan menandakan 50 tahun hubungan pada 2027, tahun yang sama di mana Singapura akan berkhidmat sebagai Pengerusi Asean.
Sehubungan itu, Encik Wong mengalu-alukan kedatangan Encik Trump untuk kembali ke Singapura dan meneruskan hubungan rapat antara Singapura dan Amerika.
Dalam pada itu, semasa berucap di Sidang Puncak Asean-Jepun, Encik Wong turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri wanita pertama dan terbaru Jepun, Cik Sanae Takaichi, yang baru sahaja dilantik bagi jawatannya pada 21 Oktober.
Encik Wong berkata Singapura mengalu-alukan peranan aktif Jepun untuk memajukan transformasi digital Asean dan sokongannya untuk peralihan tenaga hijau Asean.
“Jepun boleh memainkan peranan dalam hal ini melalui Dana Integrasi Jepun-Asean, serta Inisiatif untuk Integrasi Asean.
“Dengan bekerjasama, kita dapat merapatkan jurang pembangunan di rantau ini dan memangkin pertumbuhan dan pembangunan serantau selanjutnya,” kata Encik Wong.
Dalam ucapannya di Sidang Puncak Asean-India pula, yang dihadiri secara maya oleh Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, Encik Wong menggesa Asean dan India untuk berusaha ke arah kesimpulan yang tepat pada masanya dan substantif bagi Kajian Semula Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India (AITIGA).
Beliau juga menggesa negara anggota untuk menghubungkan kepakaran India dalam kuasa solar dan hidrogen dengan permintaan Asean yang semakin meningkat untuk tenaga bersih sedang blok tersebut membina Grid Kuasa Asean (APG).
Encik Wong juga menyeru agar Asean berusaha membina hubungan langsung Air India dengan negara anggota untuk mempromosikan hubungan antara rakyat dengan rakyat dengan lebih baik dan menggalakkan lebih banyak projek pertukaran pelajar dan penyelidikan.
“Terdapat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama, dan kami mengalu-alukan 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim Asean-India, sebagai satu lagi dorongan untuk kita memperkukuhkan kerjasama kita.
“Dengan bekerjasama rapat dalam bidang-bidang ini dan seterusnya, saya yakin bahawa Asean dan India dapat merealisasikan potensi besar perkongsian kita, dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk rakyat kita,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg