Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeranan SP asah semangat juang veteran kejuruteraan, pemimpin akar umbi
Pengalaman di SP kukuhkan kemahiran teknikal, khidmat masyarakat
Peranan SP asah semangat juang veteran kejuruteraan, pemimpin akar umbi
Blok lima; bengkel tiga; kantin satu.
Ini adalah antara tempat tumpuan biasa bagi pelajar Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Singapura (SP) pada era 1990-an, termasuk Encik Shahrin Abdol Salam.
Berusia 17 tahun ketika itu, Encik Shahrin memulakan langkah pertama mencapai cita-cita sebagai jurutera di kampus SP.
Institusi itu menjadi pilihan utamanya kerana kursus kejuruteraan yang menarik serta lokasinya yang berdekatan dengan kedai runcit bapanya di Clementi, yang membolehkan beliau mengimbangi masa antara belajar dan membantu di kedai.
Meskipun seorang pelajar yang sentiasa dahagakan ilmu, Encik Shahrin mengakui pernah dibayangi rasa ragu terhadap keupayaan diri dan tidak pasti akan potensi sebenar beliau.
Kini berusia 53 tahun, beliau merasakan ketidakpastian yang dirasakannya nyata wujud dalam kalangan belia masyarakat Melayu/Islam ketika itu.
Bagaimanapun, beliau percaya SP telah melengkapi dirinya dengan kecekapan dan keyakinan untuk mengikis rasa ragu tersebut.
Pengalaman seperti itu sekali gus membentuk dirinya untuk meraih pelbagai kejayaan, termasuk menerajui pelbagai projek rel utama di peringkat tempatan dan antarabangsa.
SP bukan sahaja melengkapkannya dengan asas teknikal untuk menjadi jurutera cemerlang, katanya, malah mengasah kemahirannya dalam menabur bakti kepada masyarakat selaku pemimpin akar umbi.
Dalam sesi temu bual bersama Berita Minggu (BM), Encik Shahrin, bapa empat orang anak, berkata:
“Ia perkara lumrah untuk kami dibelenggu rasa ragu dan kurang pasti tentang keupayaan kami pada usia muda itu.
“Bagaimanapun, menuntut di SP memberi saya ilmu, kecekapan dan keyakinan untuk berani mengambil langkah pertama… kita tidak akan pernah tahu sejauh mana keupayaan diri kita selagi kita tidak mencuba.
“Tak mengapa kalau gagal yang penting kita bangkit dan mempelajari daripada kesipalan... Itu bukan lagi kegagalan tetapi proses mencapai kejayaan.”
Setelah berjaya mendapatkan diploma dan selesai menjalani perkhidmatan negara, Encik Shahrin melanjutkan pelajaran di universiti luar negara, dengan mengikuti pengajian Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) di Universiti RMIT, Melbourne, Australia.
Gred yang diterimanya ketika itu memerlukan beliau bekerja selama beberapa tahun sebelum boleh dipertimbangkan untuk mendapat tempat di universiti setempat.
Encik Shahrin turut memegang Sarjana Sains (Pengurusan Teknologi) dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera penyelenggaraan dengan SMRT pada 1997, di mana semangat tidak putus asanya terus menyerlah.
Meskipun bermula pada peringkat rendah, Encik Shahrin menyahut segala peluang untuk mempertingkatkan kemahirannya, termasuk mempelajari daripada teknisyen di lapangan kerja.
Peluang keemasan timbul pada 2008 apabila beliau diberikan peluang menjadi Pengarah Pengurusan Kejuruteraan SMRT Engineering Timur Tengah di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Peranan tersebut memerlukan beliau menguruskan pembangunan sistem monorel Palm Jumeirah di Dubai dan sistem Transit Pantas Peribadi (PRT) Masdar City, yang merupakan projek sulung seumpamanya.
Pada awalnya, beliau kurang pasti akan menjadi Pengarah Pengurusan, namun Encik Shahrin tetap menerima peluang itu tanpa rasa ragu.
“Saya sudah berlatih dan bersiap-sedia dari segi mental juga… Kemudian segala ilmu dan pengalaman daripada zaman politeknik kembali.
“Saya benar-benar menghargai projek tersebut, terutamanya kerana rakan seperjuangan saya yang hebat,” kongsinya.
Ia termasuk menyandang jawatan Ketua Jurutera, Operasi Rel dalam Penguasa Jalan Raya dan Pengangkutan (RTA) Dubai pada 2012, serta jawatan Pakar Kereta Api dan Penasihat kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Rel.
Setelah kembali ke Singapura, beliau kemudian menjadi Pengarah Urusan SMRT Laluan Thomson-East Coast (TEL) pada 2022, di mana beliau mengetuai dan menguruskan seramai 1,200 kakitangan dan bertanggungjawab atas operasi, penyelenggaraan dan integrasi projek laluan MRT itu.
Beliau juga menerajui usaha meningkatkan keandalan sistem rel Singapura dan juga menjadi mantan naib presiden kanan perhubungan strategik di SMRT Corporation.
Selain itu, beliau terlibat dalam Projek Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Penglibatannya dalam pembangunan stesen MRT Dover ketika bergelar jurutera muda – stesen yang lazimnya digunakan oleh pelajar SP setiap hari sejak Oktober 2001 – merupakan antara kenangan manis buat Encik Shahrin.
Beliau juga memegang jawatan CEO SingPost (Singapura) buat seketika dari Mei 2024 hingga Februari 2025.
Kini, beliau merupakan CEO Timur Tengah Vizzio Technologies, sebuah syarikat yang pakar dalam pemetaan 3D menerusi kecerdasan buatan (AI) dan imej satelit.
Encik Shahrin turut merupakan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian pada 2023, selain merupakan pemimpin akar umbi yang aktif di GRC West Coast, dan penerima Pingat Bakti Masyarakat (Pingat Perkhidmatan Awam) pada 2019.
Pengalaman di SP turut mengasah bakat kepimpinannya dalam khidmat masyarakat dan menjadikannya “pemimpin yang lebih matang”, kongsinya.
Ketika bergelar pelajar SP, Encik Shahrin sudah rajin menabur bakti sebagai anggota Pergerakan Belia Persatuan Rakyat (PAYM) dan seterusnya sebagai Pengerusi Jawatan Eksekutif Belia di Kelab Masyarakat Bukit Timah.
Beliau merasakan pengalaman menganjurkan pelbagai program bagi memenuhi keperluan masyarakat telah banyak membantunya, terutama dari segi bekerjasama dengan rakan sepasukan sewaktu mengendalikan projek sekolah.
Sebaliknya, beliau berkata pengalaman sebegitu di SP mempertajamkan kemahirannya sebagai pemimpin akar umbi muda.
“Sering kali, kita tidak dapat memilih ahli sepasukan atau mengawal keadaan. Yang penting, kita kenal pasti kekuatan setiap anggota dan memperkasakannya demi mencapai objektif yang berkesan bagi sebarang kegiatan” jelas Encik Shahrin.
Salah satu lagi kenangan manis daripada SP bagi Encik Shahrin ialah mendapat inspirasi daripada rakan-rakan lebih dewasa.
Melihat kegigihan ‘abang’ dan ‘kakak’ bukan sahaja mendorong beliau memberi usaha yang terbaik, malah mumupuk azam untuk menyumbang semula ilmu dan pengalaman demi kebaikan orang lain, tambahnya.
Lantaran itu, beliau menyertai Jawatankuasa Penasihat bagi Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik sejak April 2024.
Menerusi peranan tersebut, beliau menyumbang pandangan berasaskan pengalaman luasnya dalam industri bagi memastikan kurikulum sentiasa dirombak sejajar dengan perkembangan industri.
Ini termasuk memastikan pendedahan mengenai perkembangan AI diterapkan secara berkesan dalam kurikulum.
Tugas ini, kongsi Encik Shahrin, menjadi lebih bermakna kerana anak bongsu beliau juga menuntut di SP.
Keadaan itu mengingatkan beliau bahawa SP telah melahirkan deretan generasi lulusan yang cemerlang.
“Kami telah meraih manfaat daripada warisan SP, jadi kami juga menggalas amanah dan tanggungjawab untuk meninggalkan warisan yang berguna untuk kebaikan generasi seterusnya,” ujar Encik Shahrin.