Peranan TAA terus relevan bantu golongan memerlukan
Kewujudan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) terus kekal relevan dalam membantu keluarga yang memerlukan melalui pelbagai daya usaha kewangan dan kebajikan.
Usaha berterusan ini membuktikan daya usaha TAA masih relevan dalam memastikan golongan rentan dalam masyarakat menerima bantuan sewajarnya.
SUMBANGAN BERJUMLAH $1.8 JUTA JAYA DIAGIH
Sepanjang 2025, sebanyak 3,427 keluarga menerima bantuan melalui pelbagai program kendalian TAA.
Secara keseluruhannya, sejumlah $1.8 juta diagihkan bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga yang memerlukan, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Daripada jumlah penerima bantuan tersebut, seramai 1,428 individu terdiri daripada golongan pesakit terlantar, pengguna berkerusi roda serta individu kurang upaya yang memerlukan sokongan tambahan dalam kehidupan harian.
Selain itu, TAA turut memberi perhatian kepada keluarga berpendapatan rendah, dengan sebanyak 2,900 keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita kurang daripada $600 menerima sumbangan kewangan.
Perangkaan juga menunjukkan 2,667 keluarga penerima bantuan yang tinggal di flat sewa satu atau dua bilik, turut menjadi sebahagian besar penerima bantuan TAA.
Pada 2025, sejumlah $10,140 disalurkan kepada 85 pemohon, merangkumi keluarga yang terjejas akibat kehilangan sumber pendapatan atau menghadapi keadaan kecemasan yang tidak dijangka.
PEROLEH SOKONGAN PEMIMPIN DAN MASYARAKAT
Selain bantuan kewangan, TAA juga aktif mendekati masyarakat melalui pelbagai acara kemasyarakatan termasuk di bazar Geylang Serai.
Antara sorotan utama pada acara tersebut ialah kunjungan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; di reruai TAA.
Turut hadir ialah Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, bersama lebih 50 anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Yuhua yang menyertai kegiatan menderma dalam acara tersebut. Penyertaan ini juga menandakan tahun ke-20 beliau menyokong TAA.
Satu lagi detik istimewa adalah penyertaan lebih 150 pelajar daripada pusat jagaan kanak-kanak, Ilham Childcare Centre, yang hadir di reruai TAA untuk menderma secara berkumpulan di sana.
“Dengan sokongan penuh masyarakat, TAA akan terus komited dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” kata Pengurus TAA, Encik Muhammad Suhaimi Pa’at.
Cara menderma:
1. Layari laman web, www.TAA.sg untuk menghulurkan sumbangan anda.
2. Bagi setiap sumbangan $50, penyumbang berpeluang menebus Kapoww Sambal Series, yang merupakan hasil sentuhan istimewa Duta Utama TAA, Cef Mel Dean, di pejabat TAA atau bazar Geylang Serai.
3. Sumbangan $50 dan ke atas juga layak mendapat potongan cukai Lembaga Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) sebanyak 250 peratus.
4. Penderma boleh memilih menderma melalui PayNow, perbankan Internet, cek atau kad kredit.
* Ikuti perjalanan TAA dalam membantu insan memerlukan di Instagram: taatrustfund, Facebook: TAA Trust Fund atau YouTube: TAA Trust Fund.

