Perang di Timur Tengah: Pesawat tentera bawa pulang warga S’pura dari Riyadh dijangka tiba di Changi dinihari 11 Mac
Perang di Timur Tengah: Pesawat tentera bawa pulang warga S’pura dari Riyadh dijangka tiba di Changi dinihari 11 Mac
Pesawat tentera yang dikerahkan ke Riyadh, Arab Saudi untuk membawa pulang rakyat Singapura di tengah-tengah perang di Timur Tengah dijangka tiba di Lapangan Terbang Changi pada dinihari 11 Mac.
Pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) A330 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) itu berlepas dari Lapangan Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh sekitar 5.30 petang (waktu tempatan) pada 10 Mac, menurut laman pemantauan penerbangan Flightradar24.
Penerbangan yang dinamakan SAF12 itu dijadual tiba di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Changi sekitar 6.30 pagi pada 11 Mac.
Apabila Berita Harian (BH) tiba di balai ketibaan T2 sekitar 4.30 pagi, lebih ramai orang daripada biasa didapati berada di sana. Sebahagian daripada mereka memberitahu BH mereka sedang menantikan ketibaann orang tersayang dari Riyadh.
Dalam kenyataan bersama pada 9 Mac, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Angkatan Tentera Bersenjata (SAF) mengerahkan pesawat tersebut untuk memenuhi permintaan warga Singapura di Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar dan Arab Saudi untuk pulang.
Mereka terkandas selepas ruang udara ditutup dan kebanyakan penerbangan komersial dibatalkan.
Difahamkan, warga Singapura yang dibawa pulang dengan SAF12 itu tidak dikenakan sebarang caj.
Penerbangan SAF12 tersebut ialah penerbangan ketiga yang diusahakan negara ini untuk membawa pulang rakyat yang terkandas di Timur Tengah selepas Israel dan Amerika Syarikat menyerang Iran pada 28 Februari, mencetus serangan balas yang kini melibatkan beberapa negara lain di sana, termasuk Bahrain, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu.
Penerbangan keempat, juga menggunakan pesawat MRTT milik RSAF, sedang dirancang untuk berangkat ke Jeddah dari Singapura pada 12 Mac.
Berdasarkan dokumen dalam talian Mindef pada 2018, MRTT A330 boleh membawa muatan sehingga 37,000 kilogram, atau sekitar 260 penumpang.
Dua penerbangan untuk membawa pulang warga Singapura - dari Muscat, Oman - dilakukan menerusi pesawat komersial A350-900 Singapore Airlines (SIA) yang disewa khas.
Seramai 319 warga Singapura berjaya dibawa pulang menerusi kaedah ini pada 7-8 Mac. Memberitahu media, MFA berkata sekumpulan warga Malaysia, Korea Selatan, Brunei dan Indonesia turut dibawa pulang menerusi dua penerbangan komersial itu “atas semangat saling membantu antara satu sama lain semasa kecemasan”.

