Terdapat peraturan sedia ada untuk melindungi kandungan editorial dan keputusan dalam akhbar serta media penyiaran tempatan daripada campur tangan asing, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.
Beliau memberikan maklum balas pada 24 September kepada soalan yang dikemukakan oleh Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), yang bertanya sama ada Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mengetahui butiran tentang cadangan kerjasama antara SPH Media Trust (SMT) dengan beberapa pertubuhan berita milik pemerintah China.
Encik Fadli juga bertanya sama ada pihak kementerian menilai potensi berlakunya campur tangan asing dalam perkara tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Cik Teo berkata tidak jelas cadangan kerjasama mana yang dimaksudkan oleh Encik Fadli.
Menurutnya, sebagai agensi berita yang melaporkan perkembangan antarabangsa, SPH Media perlu berhubung rapat dengan rangkaian media sejagat.
Ia seharusnya mempunyai pelbagai bentuk kerjasama dengan pemain industri, termasuk pertubuhan berita dari China, untuk berkongsi kandungan dan pandangan mengenai perkembangan terkini dalam landskap media.
Cik Teo turut menegaskan bahawa syarikat akhbar dan penyiaran tempatan dilarang menerima dana daripada sumber asing bagi tujuan bukan komersial.
“Langkah perlindungan ini tetap berkuat kuasa tanpa mengira sama ada sesebuah akhbar itu menerima dana pemerintah atau tidak, dan kami akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat tanda-tanda campur tangan asing dalam media tempatan,” katanya.
SMT ialah syarikat induk kepada SPH Media, yang menerbitkan ST serta beberapa penerbitan lain termasuk akhbar harian berbahasa Cina, Lianhe Zaobao.
Sekumpulan pegawai kanan daripada SPH Media mengadakan lawatan ke China pada Julai dan bertemu dengan beberapa syarikat media untuk membincangkan cabaran yang dihadapi oleh agensi berita arus perdana.
Menurut SPH Media, lawatan selama empat hari ke Beijing itu bertujuan memahami perkembangan, inovasi dan trend terkini yang membentuk landskap media di China melalui sesi keterlibatan bersama media arus perdana di sana.
Media itu termasuk China Media Group, People’s Daily dan Xinhua News Agency.
Rombongan itu turut melawat Fakulti Kewartawanan dan Komunikasi di Universiti Tsinghua, serta beberapa syarikat teknologi, media dan agensi rasmi yang lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg