SPH Media telah merangkul lapan anugerah di Anugerah Podcast Asia 2025 yang diadakan di acara Radiodays Asia 2025 di Jakarta, Indonesia, pada 3 September.
Dilancarkan pada 2023 oleh Radioinfo, Anugerah Podcast Asia mengiktiraf individu, pasukan dan pertubuhan paling cemerlang yang bekerja dalam wadah podcast daripada seluruh media Asia dan landskap pemasaran.
SPH Media muncul teratas dalam lapan daripada 23 kategori, di antara 80 finalis, menurut kenyataannya pada 3 September.
Kemenangan itu menegaskan semula peranan yang dimainkan SPH Media sebagai jenama media yang boleh dipercayai dan berpengaruh serta syarikat berita nasional Singapura.
Ketua Radio SPH Media, Encik Sim Hong Huat, berkata:
“Kami berasa amat bangga dan benar-benar berbesar hati menerima lapan anugerah di Anugerah Podcast Asia 2025.
“Pengiktirafan ini adalah bukti kepada kerja keras, kreativiti dan dedikasi pasukan di SPH Media, daripada penyampai berbakat hinggalah penerbit dan kakitangan sokongan kami.
“Melihat The Land Before Bedtime dan Sports Minutes memenangi buat kali kedua, serta podcast lain kami diiktiraf dalam pelbagai kategori termasuk komedi, kesihatan, perniagaan dan berita, benar-benar menyerlahkan keluasan serta mutu kandungan audio kami.”
Podcast The Land Before Bedtime oleh Charmaine Phua, Angelique Teo, Lavinia Tan, Carol Smith dan Tim Oh memenangi anugerah Hiburan Kanak-Kanak Terbaik buat kali kedua, manakala Podcast Sukan Terbaik turut dimenangi buat kali kedua oleh Sports Minutes arahan Zia-ul Raushan.
Anugerah lain termasuk Podcast Komedi Terbaik, Friday Night Live, oleh Neil Humphreys dan Dan Koh daripada stesen MONEY FM 89.3; Podcast Kesihatan dan Kesejahteraan Terbaik, Just Between Us, oleh Natalie Koh dan Juliana Yeow daripada stesen Kiss92; Podcast Wang dan Perniagaan Terbaik, Wealth Tracker, oleh Hongbin Jeong daripada stesen MONEY FM 89.3; Podcast Baru Terbaik, Shelf Life, oleh Yumiko Kayahara daripada stesen Kiss92; Podcast Berita Terbaik, GE Tonight, oleh Michelle Martin dan Audrey Siek daripada MONEY FM 89.3; serta Anugerah Pilihan Rakyat, Joseph Ask, oleh Wenhong dan Jia Yi daripada stesen UFM100.3.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg