Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SPH Media komited siar berita, kandungan yang dipercayai

Produk SPH perlu papar suara warga S’pura, cipta ruang bersama bagi perbualan membina
Aug 1, 2025 | 8:59 PM
(Dari kiri) Cik Megan Wee, penerima Biasiswa SPH Media–Yayasan Temasek; Cik Vishruta Nandakumar, penerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media; dan Cik Stacey Ngiam, penerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media; bergambar bersama selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa SPH Media 2025, yang berlangsung di News Centre pada 1 Ogos.
(Dari kiri) Cik Megan Wee, penerima Biasiswa SPH Media–Yayasan Temasek; Cik Vishruta Nandakumar, penerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media; dan Cik Stacey Ngiam, penerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media; bergambar bersama selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa SPH Media 2025, yang berlangsung di News Centre pada 1 Ogos. - Foto ST

SPH Media menyiarkan berita dan kandungan yang dipercayai, berwibawa dan penting buat warganegara yang berpengetahuan dalam suasana yang mencabar kini, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit.

Justeru, menyajikan berita dan kandungan yang menggambarkan suara warga Singapura dan masyarakat kita, di samping menawarkan ruang bersama bagi perbualan yang membina, kekal menjadi komitmen, di samping menghubungkan Singapura dengan dunia dan demi menyampaikan ‘Kisah Singapura’.

Sebagaimana jelas Encik Chan: “Kita hidup dalam masa di mana kebenaran bersaing dengan maklumat yang salah, di mana naratif bergantung pada siapa yang paling kuat melaungkan suaranya, dan di mana kepercayaan sukar diperolehi tetapi mudah hilang begitu sahaja.

“Sebagai syarikat media berita nasional, kita menyediakan berita dan kandungan yang dipercayai, berwibawa, dan penting untuk rakyat yang berpengetahuan.”

Beliau menyampaikan ucapan tersebut pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa SPH Media, di News Centre, SPH Media, di Toa Payoh North, pada 1 Ogos.

Majlis tahunan ini meraikan penerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media dan Biasiswa SPH Media–Yayasan Temasek, dua inisiatif penting yang menyokong serta membimbing bakat muda yang bercita-cita mencorak masa depan mereka melalui kerjaya kewartawanan dan media tempatan.

Pada 2025, dua belia, Cik Vishruta Nandakumar dan Cik Stacey Ngiam, menerima Biasiswa Kewartawanan SPH Media manakala seorang lagi belia cemerlang, Cik Megan Wee, menerima Biasiswa SPH Media–Yayasan Temasek.

Dalam tempoh tiga tahun yang lalu (sejak 2022), SPH Media telah menganugerahkan 18 biasiswa. Ini termasuk penerima baru yang menerima biasiswa mereka pada 1 Ogos.

Bersama Yayasan Temasek, enam Biasiswa SPH Media-Yayasan Temasek juga telah disampaikan sejak 2023, bagi menyokong pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kewartawanan.

Biasiswa SPH Media–Yayasan Temasek telah menjadi platform penting dalam melahirkan bakat kewartawanan masa depan.

Kerjasama itu terbuka kepada pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam bidang Komunikasi, Ekonomi, Data Sains dan Sains Politik yang berminat dalam bidang kewartawanan.

Kedua-dua biasiswa ini bukan sekadar menawarkan bantuan kewangan, bahkan turut membuka ruang pembelajaran yang luas menerusi program latihan industri, penempatan kerja dan bimbingan oleh karyawan bilik berita.

Encik Chan memetik Laporan Berita Digital Reuters, yang menyenaraikan akhbar The Straits Times (ST) sebagai jenama berita paling dipercayai di Singapura. Beberapa kajian bebas terkini turut menunjukkan bahawa produk SPH mendekati lebih lapan orang bagi setiap 10 penduduk di negara ini.

Penerbitan SPH Media, jelasnya, juga meraih jumlah tatapan halaman paling tinggi secara menyeluruh dalam kalangan wadah berita setempat di samping merupakan bilik berita Singapura yang paling banyak menerima anugerah di peringkat antarabangsa, yang disampaikan Persatuan Dunia bagi Penerbit Berita, Persatuan Media Berita Antarabangsa dan Persatuan Penerbit Di Asia.

“Semua hasil itu hanya mampu dicapai kerana golongan yang kami pilih untuk mendedikasikan diri mereka bagi menyampaikan cerita, mencorak perbincangan dan meraih kepercayaan.

“Mereka adalah wartawan, editor, penerbit, jurugambar, pencipta kandungan serta kakitangan sokongan.

“Mereka percaya dengan kuasa penceritaan dan keupayaannya mencorak dunia yang lebih baik dan berhubung kait.

“Kerana itu, pembangunan bakat amat penting bagi kami, dan mengapa kami terus melabur banyak dalam mengasuh dan mencorak bakat kewartawanan – daripada wartawan pelajar muda hinggalah pemimpin bilik berita,” jelas Encik Chan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg