Sebagai seorang doktor muda kelahiran Singapura, Dr Faii Ong menemui seorang pesakit berusia 103 tahun yang mengalami gegaran tangan teruk hingga pesakit itu tidak mampu menyuap makanannya.
Melihat kehilangan keupayaan berdikari pesakit itu, beliau terdorong membangunkan GyroGlove di GyroGear™. GyroGlove adalah teknologi sarung tangan pintar yang membantu memperbaiki mutu kehidupan pesakit gegaran tangan, seperti pesakit Parkinson atau Essential Tremor.
“Gegaran tangan menjejas lebih daripada 200 juta orang di seluruh dunia, namun masalah ini sering dianggap sebagai ‘hanya bergegar’. GyroGear™ membuktikan teknologi mampu mengembalikan sifat berdikari, maruah dan hubungan dalam kehidupan harian dengan segera,” kata Dr Ong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GyroGear™ Pte Ltd.
Dinobat sebagai Inovasi Terbaik TIME, ia menggunakan penstabil gyroskopik dan sensor terbenam untuk mengesan pergerakan gegaran dan mengatasinya serta-merta.
Ia direka dengan tujuan supaya pesakit yang mengalami gegaran tangan teruk boleh memakai sarung tangan itu sendiri dan mempunyai pelbagai ciri-ciri untuk membantu pesakit seperti permukaan yang mudah digenggam dan pengikat besar.
“Pesakit boleh merasai kesannya dalam masa 8 saat hingga 10 saat selepas giroskop diaktifkan.
“GyroGlove membantu pesakit kembali melakukan tugasan harian seperti makan, menulis, menaip atau bermain dengan ahli keluarga, sekali gus meningkatkan mutu hidup,” ujar Dr Ong.
Ia juga boleh digunakan bersama rawatan lain, dan pesakit Parkinson melaporkan peningkatan koordinasi serta keupayaan bergerak.
Sebagai salah satu pemenang CHISEL Healthcare InnoMatch 2025, GyroGear™ akan diuji di kelompok penjagaan kesihatan NUHS.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Aymeric Lim, menjelaskan mengapa Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) memilih GyroGlove untuk ujian penyelesaian kesihatan:
“GyroGlove, dibangunkan oleh GyroGear™, menawarkan pendekatan yang benar-benar inovatif untuk menguruskan gegaran tangan, yang berpotensi meningkatkan autonomi pesakit dan mengurangkan pergantungan pada campur tangan farmakologi.
“Bagi pesakit, GyroGlove mungkin boleh mendapatkan semula keupayaan melakukan tugas harian.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg