Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerbarisan, persembahan, sorakan gegar Stadium Negara
Lebih 1,200 peserta sertai kontinjen awam terbesar dalam lebih sedekad, turut tampil peserta dari Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura
Suasana yang riuh dengan sorakan dalam Stadium Negara berterusan sehingga sekitar 6.30 petang.
Komander Perbarisan kemudian memberikan arahan untuk kontinjen perbarisan mula berarak masuk.
Antaranya:
“Baris sedia!”
“Baris, dari kiri dan kanan, cepat jalan!”
Arahan tersebut menandakan bermulanya segmen Istiadat & Perbarisan (P&C), dengan derapan tapak 32 kontinjen bergema dalam stadium.
Alunan muzik Pancaragam Gabungan mengiringi suasana perarakan 32 kontinjen itu, dengan enam kontinjen Kawalan Kehormatan (GOH) dan 26 kontinjen awam dalam formasi masing-masing menuju ke tengah stadium.
Dalam pergerakan itu, para penonton turut mendapat pandangan lebih dekat apabila kontinjen awam melalui ruang antara tempat duduk penonton.
Kontinjen tersebut kemudian menuju ke pentas berbentuk anak panah berukuran 162 meter panjang dan 74 meter lebar.
Kontinjen awam yang menghimpunkan lebih 1,200 peserta itu menjadikan penyertaan awam dalam perbarisan NDP 2026 terbesar dalam lebih sedekad.
Sorakan bergema apabila kontinjen 21 anggota daripada Majlis Sukan Kurang Upaya Singapura (SDSC) tampil di pentas Stadium Negara pada 9 Ogos, dengan sebahagian daripada mereka menggunakan kerusi roda dan tongkat.
Penyertaan itu merupakan antara penyertaan terbesar golongan orang kurang upaya dalam NDP sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sementara itu, keenam-enam kontinjen GOH mengambil tempat dalam formasi masing-masing bagi pemeriksaan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Pemeriksaan tersebut diiringi 21 das tembakan sebagai sebahagian daripada Tembakan Meriam Presiden (PGS), yang diselaraskan dengan pergerakan Tuan Presiden ketika beliau memeriksa setiap kontinjen GOH.
Tidak lama kemudian, bunyi tembakan dari arah Kallang Basin bergema di dalam stadium, sementara paparan pada skrin gergasi turut sesekali menunjukkan detik PGS tersebut.
Selesai pemeriksaan, keenam-enam kontinjen GOH mengangkat senapang masing-masing serentak ke udara dalam tembak perayaan atau feu de joie, mencetuskan tepukan gemuruh daripada lebih 42,000 penonton.
Selesai segmen P&C, kesemua kontinjen berbaris keluar dari ruang persembahan sebelum lampu Stadium Negara dimalapkan.
Suasana kemudian berubah apabila segmen persembahan NDP 2026 bermula sekitar 7.10 malam, membawa penonton melalui lima babak – Babak 2 hingga Babak 6.
Lebih 170 sistem kesan khas menghidupkan ruang persembahan, dengan lampu bergerak dan pancaran laser menyinari Stadium Negara.
Gelang tangan LED yang dipakai penonton turut menyala secara serentak, membentuk motif dan corak yang menerangi ruang tempat duduk.
Setiap kali satu babak berakhir, langit di luar Stadium Negara pula disinari percikan bunga api kecil, menjadi penanda sebelum persembahan beralih ke babak seterusnya.
Babak ketiga mengimbau sejarah dan hubungan maritim Singapura, manakala babak keempat membawa penonton menyusuri sejarah televisyen tempatan daripada era hitam putih hingga rancangan ikonik.
Babak kelima pula menampilkan pertunjukan penerbangan 300 dron dalam kawasan tertutup – kali pertama dalam sambutan NDP.
Paparan cahaya dron itu diselaraskan dengan nyanyian oleh penyanyi tempatan Jasmine Sokko yang mendendangkan lagu You’ll Be Okay daripada Album Go Beyond: NDP 2026 sambil beliau diturunkan dari udara dengan wayar kabel dan diiringi dua akrobat udara.
Menjelang penghujung sambutan, langit Stadium Negara kembali diterangi cahaya bunga api ketika Presiden Tharman Shanmugaratnam turun ke ruang tengah stadium untuk beramah mesra dengan para peserta.
Beliau turut meluangkan masa bergambar swafoto bersama beberapa peserta sebelum berangkat meninggalkan Stadium Negara, mengakhiri malam merah putih penuh bermakna itu dengan suasana kemesraan.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.
