Langit malam bermandi cahaya gemerlapan apabila bunga api semarak dengan penuh warna-warni, menerangi Stadium Negara dalam lautan merah dan putih, sedang ribuan penonton yang hadir berseragam pakaian warna kebangsaan bersorak meraikan Hari Kebangsaan Singapura yang ke-61.

Perayaan penuh bersejarah pada 9 Ogos itu menandakan kepulangan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) ke Stadium Negara buat julung-julung kalinya dalam tempoh sedekad.

Diiringi persembahan yang memukau, lagu-lagu patriotik serta paparan kemajuan dan daya tahan Singapura, sambutan itu menghimpunkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam semangat perpaduan, kebanggaan dan harapan ketika mereka mengenang perjalanan negara serta melangkah yakin ke arah masa depan.

Lebih 42,000 penonton membanjiri Stadium Negara dan memenuhi setiap ruang tempat duduk.

Dengan tema Majulah Singapura: Terbang Lagi Tinggi! setiap aksi dan pertunjukan diiringi sorakan dan tepukan.

Bersama lima pengacara NDP 2026 termasuk personaliti setempat Hafidz Rahman yang tampil buat kali pertama selaku pengacara NDP, penonton turut sama menghidupkan aksi Kallang Wave, dengan tepukan dan sorakan gembira bergema setiap kali ia dilakukan mengelilingi stadium.

Encik Zaqy Mohamad, yang kali pertama menyaksikan NDP selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, tiba awal bersama para menteri dan Anggota Parlimen (AP) sebelum kehadiran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Ketibaan Encik Wong mendapat sorakan dan sambutan para penonton.

Ini disusuli dengan kehadiran Presiden Tharman Shanmugaratnam yang turut mendapat tepukan gemuruh, sebelum stadium bergema dengan dendangan lagu kebangsaan, Majulah Singapura.

Tuan Presiden kemudian memeriksa kawalan kehormatan dalam segmen Istiadat dan Perbarisan (P&C).

Selesai segmen tersebut, sambutan NDP diteruskan dengan segmen persembahan menerusi lima babak khas.

Penonton turut disajikan dengan pertunjukan cahaya penuh gah melibatkan 300 dron yang ‘menari’ seiringan buat julung-julung kalinya di dalam Stadium Negara.

Sementara itu bahang sambutan NDP turut dirasai di luar Stadium Negara, dengan suntikan warna di sekitar Kallang Basin dengan suasana di luar stadium juga tidak kurang meriahnya.

Lautan manusia yang mengenakan pakaian merah putih membanjiri kawasan terbuka seawal 12 tengah hari – semuanya ingin turut serta meraikan Hari Kebangsaan negara yang ke-61.

Dengan acara terbang lalu bendera negara dan Tembakan Meriam Presiden (PGS) berlangsung di Kallang Basin buat pertama kalinya dalam sejarah NDP, orang ramai di luar stadium turut berpeluang menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun negara.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.