Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerbicaraan Hyflux: Olivia Lum, 5 yang lain tidak akan beri keterangan; saksi dipanggil
Perbicaraan Hyflux: Olivia Lum, 5 yang lain tidak akan beri keterangan; saksi dipanggil
Perbicaraan Hyflux: Olivia Lum, 5 yang lain tidak akan beri keterangan; saksi dipanggil
Pengasas Hyflux, Olivia Lum, dan lima defendan bersama tidak akan memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah mereka.
Mereka memutuskan untuk tidak mengemukakan hujah “tiada kes untuk dijawab” bagi memohon pembebasan selepas pihak pendakwa menutup kesnya.
Hujah sedemikian bermaksud pihak pembela percaya pihak pendakwa tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk menyokong kesnya, dan tertuduh patut dibebaskan serta-merta tanpa diminta membela diri.
Keputusan mereka dibuat apabila Hakim Daerah Utama Toh Han Li, mendapati pihak pendakwa telah mengemukakan kes yang mencukupi terhadap Lum, bekas ketua pegawai kewangan Cho Wee Peng, dan empat bekas pengarah bebas, Teo Kiang Kok, Gay Chee Cheong, Christopher Murugasu dan Lee Joo Hai.
Peguam Kanan Davinder Singh, yang mewakili Lum, memberitahu Mahkamah Negara pada 21 Oktober bahawa anak guamnya “setelah memikirkannya dengan teliti, percaya pihak pendakwa belum dan tidak akan dapat membuktikan pertuduhan terhadapnya”.
Beliau berkata Lum “tidak mahu membuang masa mahkamah dengan mendengar hujah tentang satu ujian yang akhirnya mungkin tidak penting”.
“Beliau mahu terus ke peringkat apabila mahkamah mendengar hujah sama ada pihak pendakwa telah membuktikan kesnya terhadap beliau melampaui keraguan munasabah, supaya kes ini diputuskan secepat mungkin,” kata Encik Singh.
“Atas sebab-sebab ini, beliau tidak akan mengemukakan hujah tiada kes untuk dijawab. Beliau sedar hujah sedemikian melibatkan pemfailan dan pengemukaan hujah, dan itu akan memakan masa serta melambatkan perkara ini,” tambahnya.
Pada 29 September, pihak pendakwa menamatkan kesnya selepas 54 hari perbicaraan. Dalam tempoh itu, 22 saksi dipanggil berhubung kejatuhan syarikat rawatan air itu, salah satu skandal korporat terbesar di Singapura.
Dalam perbicaraan jenayah yang bermula pada Ogos 2025, mahkamah mendengar mengapa Hyflux didakwa tidak mendedahkan bahawa ia akan menghadapi risiko besar dalam pasaran elektrik.
Mahkamah juga mendengar bagaimana Hyflux beralih kepada pelabur runcit dan institusi untuk membiayai projek air dan kuasa bersepadu Tuaspring kerana sukar mendapatkan pinjaman bank.
Mahkamah turut mendengar bahawa DBS Bank ialah pihak yang mencadangkan idea supaya Hyflux menerbitkan saham keutamaan untuk mengumpul dana pada 2011.
Hyflux diletakkan di bawah pengurusan kehakiman pada November 2020 dan digulung pada 2021. Kejatuhannya akibat jualan elektrik yang lemah menyebabkan kira-kira 34,000 pelabur sekuriti kekal dan saham keutamaan, yang melabur $900 juta secara keseluruhan, kehilangan semuanya.
Pendakwaan meneruskan 11 pertuduhan terhadap enam defendan itu. Ini termasuk dua pertuduhan masing-masing terhadap Lum dan empat pengarah itu – Teo, 70 tahun; Gay, 69 tahun; Murugasu, 67 tahun; dan Lee, 70 tahun.
Lum dituduh gagal mendedahkan maklumat penting, termasuk risiko besar syarikat rawatan air yang kini sudah tidak beroperasi itu dalam pasaran elektrik, dalam pengumuman kemenangan projek Tuaspring pada Mac 2011 dan penerbitan saham seterusnya pada April 2011.
Cho berdepan satu pertuduhan bersubahat dalam kegagalan Hyflux mendedahkan maklumat tentang Tuaspring.