Perbicaraan kes bekas CEO New Silkroutes Group mula 4 Feb
Perbicaraan kes bekas CEO New Silkroutes Group mula 4 Feb
Perbicaraan jenayah terhadap bekas ketua pegawai eksekutif syarikat yang tersenarai di Singapura, New Silkroutes Group, Goh Jin Hian, dan bekas ketua pegawai korporat, Kelvyn Oo Cheong Kwan, dijadual bermula pada petang 4 Februari di Mahkamah Negara.
Pada September 2023, Goh, Oo dan dua lelaki lain – bekas pengarah kewangan, William Teo Thiam Chuan serta pengarah tunggal GTC Group, Huang Yiwen – dikenakan 132 tuduhan keseluruhan berkaitan kesalahan dagangan palsu.
GTC Group didakwa bertindak sebagai pembuat pasaran komersial yang dilantik oleh New Silkroutes bagi memastikan upaya tunai yang mencukupi dalam pasaran.
Pada 15 Ogos 2025, Huang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun, tiga bulan dan dua minggu selepas mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan, dengan 88 pertuduhan lain diambil kira dalam hukuman.
Pada 16 September 2024 pula, Teo dijatuhi hukuman penjara selama 12 minggu selepas mengaku bersalah memanipulasi harga saham New Silkroutes bagi membolehkan saham tersebut digunakan sebagai pertimbangan dalam urus niaga korporat.
Sebanyak 25 pertuduhan lain turut diambil kira.
Menurut dokumen hukuman, Teo memainkan peranan yang “kritikal” dalam skim manipulasi pasaran itu, yang didakwa pihak pendakwaan dirancang oleh Goh.
Goh, 56 tahun, anak kepada mantan Perdana Menteri, Encik Goh Chok Tong, merupakan ketua pegawai eksekutif New Silkroutes dari 2015 hingga 2020.
Pada 2020, beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif kumpulan tersebut.
Polis berkata, keempat-empat lelaki itu masing-masing didakwa atas 31 pertuduhan berkomplot untuk mewujudkan gambaran mengelirukan mengenai harga saham New Silkroutes.
Menurut pihak pendakwaan, keempat-empat daripada mereka menjalankan satu skim yang “canggih, terselaras dengan baik dan berkesan” antara 26 Februari 2018 hingga 27 Ogos 2018 bagi menaikkan harga saham New Silkroutes secara palsu.
Ini sekali gus membolehkan syarikat itu menggunakan sahamnya sebagai ‘mata wang’ untuk urus niaga dan pengambilalihan korporat.
Skim tersebut didakwa dirancang sebagai “cara yang cepat dan mudah” untuk memudahkan pengembangan syarikat melalui pengambilalihan syarikat lain serta untuk mengumpul modal menerusi penerbitan saham baru.
Menurut polis, pesanan dan urus niaga yang didakwa, termasuk pembelian balik saham yang dilakukan melalui akaun dagangan korporat syarikat.
Pada peringkat awal, New Silkroutes menumpukan kepada perdagangan minyak serta pengedaran produk elektronik dan teknologi maklumat.
Pada Disember 2016, syarikat itu memutuskan untuk menceburi sektor penjagaan kesihatan dan memperoleh beberapa klinik serta syarikat pembekalan perubatan pada tahun berikutnya.
Namun, usaha tersebut terjejas akibat kejatuhan harga sahamnya pada 2017.
Goh Jin Hian turut berdepan lapan lagi pertuduhan melanggar peraturan sekuriti.
Dia didakwa telah membuat pesanan dan melaksanakan urus niaga sekuriti syarikat melalui akaun dagangan peribadi DBS Private Bank miliknya dengan niat untuk menaikkan harga saham New Silkroutes pada lapan hari dagangan antara 31 Ogos hingga 4 Disember 2018.
Saham New Silkroutes telah digantung sejak 15 November 2021.
Kedua-dua Goh dan Oo diberi ikat jamin sebanyak $150,000 dan $70,000, masing-masing.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 197 Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum $250,000, atau kedua-duanya sekali.

