Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perbicaraan Ong Beng Seng ditunda sehari sebelum akuan bersalah

Jul 2, 2025 | 6:26 PM
ong beng seng, perbicaraan, tunda
Taikun hartanah, Ong Beng Seng, 79 tahun, didakwa pada 4 Oktober 2024 atas pertuduhan bersubahat dengan seorang kakitangan awam untuk memperoleh hadiah dan bersubahat dalam menghalang proses keadilan. - Foto fail

Sehari sebelum jutawan, Ong Beng Seng, dijadual mengaku bersalah pada 3 Julai, perbicaraan itu telah ditunda dan diganti dengan satu persidangan prabicara pada 8 Julai.

Rekod mahkamah pada 2 Julai menunjukkan mahkamah telah meluluskan permohonan untuk menjadualkan semula tarikh perbicaraan tersebut.

Sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST), jurucakap Mahkamah Singapura berkata pihak pembelaan dan pendakwaan memohon agar perbicaraan itu ditangguhkan bagi membolehkan mereka mengemukakan hujahan bertulis tambahan berkaitan hukuman yang dicadangkan.

Jurucakap Pejabat Peguam Negara (AGC) pula berkata tarikh baru untuk Ong membuat pengakuan akan ditetapkan kemudian, lapor ST.

Taikun hartanah berusia 79 tahun itu, didakwa pada 4 Oktober 2024, atas pertuduhan bersubahat dengan seorang kakitangan awam untuk memperoleh hadiah dan bersubahat dalam menghalang proses keadilan.

Di bawah Seksyen 165, adalah satu kesalahan bagi seorang kakitangan awam menerima sebarang bentuk pemberian atau barangan berharga daripada sebarang individu yang mempunyai hubungan rasmi dengannya, tanpa bayaran atau dengan bayaran yang tidak setimpal.

Hotel Properties Limited – syarikat di mana Ong merupakan pengarah urusan – menyatakan dalam satu pengumuman di Bursa Singapura (SGX) pada Februari bahawa dia berhasrat untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan menghalang keadilan dan bersetuju agar pertuduhan lain diambil kira dalam proses penjatuhan hukuman.

Menurut dokumen mahkamah, ahli perniagaan itu didakwa telah mengaturkan agar bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, menaiki pesawat peribadinya dari Singapura ke Doha pada Disember 2022. 

Kos penerbangan itu dianggarkan bernilai AS$7,700 ($10,400).

Ong juga didakwa telah mengaturkan penginapan satu malam untuk Encik Iswaran di Hotel Four Seasons Doha, yang bernilai $4,737.63, serta penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura, yang dianggarkan bernilai $5,700.

Dokumen mahkamah turut menunjukkan Ong didakwa telah memberitahu Encik Iswaran bahawa Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) telah merampas daftar penumpang penerbangan bagi perjalanan Disember 2022 tersebut.

Setelah mendapat tahu perkara itu, Encik Iswaran meminta Ong mengeluarkan invois kepadanya bagi penerbangan tersebut, bagi mengelak siasatan lanjut.

Bagi kesalahan itu, Ong didakwa atas pertuduhan bersubahat untuk menghalang proses keadilan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg