Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Percutian keluarga terjejas susulan pembatalan penerbangan Jetstar Asia

Pasangan kecewa pelan cuti bersama anak-anak mungkin terpaksa dibatalkan
Jun 11, 2025 | 8:20 PM
Cik Nurul Syafikah Zaini dan suami, Encik Naufal Rahman, serta kedua-dua anak kecil mereka, Nayla Naufal (depan, kanan) dan Nia Naufal adalah antara penumpang yang dimaklumkan bahawa penerbangan Jetstar Asia ke Jakarta yang mereka tempah telah dibatalkan secara mendadak pada 11 Jun.
Cik Nurul Syafikah Zaini dan suami, Encik Naufal Rahman, serta kedua-dua anak kecil mereka, Nayla Naufal (depan, kanan) dan Nia Naufal adalah antara penumpang yang dimaklumkan bahawa penerbangan Jetstar Asia ke Jakarta yang mereka tempah telah dibatalkan secara mendadak pada 11 Jun. - Foto ihsan NURUL SYAFIKAH ZAINI

Percutian keluarga yang telah lama dirancang kini tergendala buat Cik Nurul Syafikah Zaini, 32 tahun, selepas beliau dimaklumkan bahawa penerbangan Jetstar Asia ke Jakarta yang ditempahnya sejak April 2025 telah dibatalkan secara mendadak.

Percutian ke Jakarta itu yang dijadualkan dari 18 hingga 22 Jun, dirancang bersama suaminya, Encik Naufal Rahman, 33 tahun, dan kededua anak mereka.

Namun tanpa diduga, Cik Syafikah menerima e-mel daripada Jetstar Asia pada pagi 11 Jun menyatakan tempahan tiket penerbangan mereka telah dibatalkan sepenuhnya tanpa sebarang pengesahan segera mengenai penerbangan lain.

Ini menyusuli pengumuman Jetstar Asia pada hari yang sama bahawa ia akan berhenti operasi mulai 31 Julai susulan cabaran yang menjejas kemampanan perniagaannya.

Dalam kenyataannya itu, syarikat berkenaan berkata saban tahun, ia berdepan dengan cabaran kos operasi yang semakin meningkat dalam rantau ini.

Ia menambah bahawa bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Julai 2025, mungkin terdapat beberapa perubahan pada jadual mereka.

Jetstar Asia akan menghubungi pelanggan yang terjejas jika terdapat sebarang perubahan pada penerbangan mereka.

Dengan itu, Cik Nurul Syafikah terpaksa menantikan penjelasan lanjut daripada syarikat tersebut sambil merancang pilihan perjalanan lain.

Dalam e-mel yang diterima Cik Syafikah dan dilihat oleh Berita Harian (BH), Jetstar Asia memaklumkan bahawa pelanggan dengan tempahan yang terjejas oleh pengumuman itu akan dihubungi, dengan pilihan mendapat bayaran balik penuh secara tunai atau penerbangan alternatif jika ada.

E-mel tersebut turut menasihatkan pelanggan supaya menghubungi pihak insurans pelancongan mereka.

“Kami akui bahawa keputusan ini mungkin menjejas rancangan perjalanan anda.

“Kami menyarankan agar anda menghubungi penyedia insurans perjalanan anda sekiranya anda tidak lagi memilih untuk meneruskan perjalanan ini jika anda boleh mendapat semula bayaran,” kata syarikat itu.

Tambahan juga, Jetstar Asia akan menanggung sebarang kos perbelanjaan susulan perubahan pada penerbangan pelanggan.

“Saya hanya akan menerima kemas kini daripada Jetstar jelang 13 Jun, sama ada saya akan diberi penerbangan baru atau memilih untuk menerima bayaran balik sepenuhnya,” kata Cik Syafikah.

Ini bermakna beliau hanya mempunyai tempoh lima hari selepas itu untuk membuat keputusan berhubung percutian keluarganya.

Walaupun demikian, Cik Syafikah melahirkan kebimbangan mengenai kos tinggi untuk menempah penerbangan alternatif pada saat-saat akhir, apatah lagi dengan permintaan tinggi sempena musim cuti sekolah.

“Semasa menempah tiket Jetstar, harganya sekitar $160 seorang untuk penerbangan ulang-alik.

“Tetapi selepas pembatalan itu, saya dapati harga untuk penerbangan lain seperti Scoot boleh mencecah sehingga $400 seorang.

“Untuk keluarga berempat seperti saya, ini merupakan satu beban kewangan yang besar,” jelas beliau, yang merupakan usahawan perniagaan pakaian dan barang kemas.

Mujur, nasib menyebelahinya apabila mendapat tahu tempahan hotel masih boleh dibatalkan tanpa sebarang bayaran.

Namun, beliau masih mengakui kecewa kerana terpaksa memaklumkan kepada anak-anaknya yang berusia lapan dan 10 tahun bahawa percutian mereka mungkin terpaksa dibatalkan.

“Anak-anak agak sedih apabila diberitahu, tetapi kami cuba kekal positif. Jika tiada pilihan lain, kami mungkin hanya bercuti singkat ke Johor Bahru atau Batam.

“Saya hanya berharap mereka menunaikan janji memulangkan bayaran balik sekiranya penerbangan alternatif tidak dapat disediakan.

“Sekurang-kurangnya, ia dapat mengelak kerugian kewangan kepada para penumpang yang terjejas seperti saya sekeluarga,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg