Badan setempat, Perdaus, gigih menawarkan khidmat ibadah korban sebagai satu usaha mengumpul dana bagi menyokong program pendidikan dan dakwah.

Program ini bertujuan membimbing kanak-kanak serta belia agar menjadi pemimpin masa depan yang berwibawa.

Seperti 2025 dan sebelumnya, ibadah korban dijalankan di Australia sebelum dagingnya dihantar ke Singapura.

Daging kemudian diproses kepada potongan lebih kecil dan dihantar terus ke rumah setiap sohibul korban (orang yang melakukan korban) dalam tempoh kira-kira satu hingga dua minggu selepas Aidiladha.

Tempahan pakej korban kambing biri-biri Australia boleh dibuat pada harga $390.

Menurut pegawai kanan Komunikasi Korporat Perdaus, Cik Khatim Hamidon, pelanggan sangat menghargai proses potongan daging korban kepada saiz kecil, kerana agak payah untuk mengurus daging dan tulang potongan besar di rumah.

Ia juga memudahkan pelanggan menyimpan daging di dalam peti sejuk di rumah dan mudah mengagihkannya kepada keluarga dan sanak saudara.

“Daging korban ini seberat antara 16 kilogram dengan 18 kilogram. Ia dibungkus vakum secara berasingan. Sohibul korban boleh memilih daging dihantar semua atau sebahagian sahaja. Bakinya, Perdaus, akan mengedarkannya kepada masyarakat am di Singapura,” jelas Cik Khatim.

Pada 2025, lebih kurang 400 kilogram diagihkan pihak Perdaus, termasuk kepada pelbagai keluarga penerima manfaat di daerah Fengshan, Kampung Chai Chee serta Bukit Batok, dengan kerjasama beberapa kelab masyarakat dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).

Perdaus juga menyediakan khidmat ibadah korban kambing biri-biri, pada harga $359, yang dagingnya akan diagihkan ke Palestin.

Cik Khatim mengulas: “Matlamat pertama sebahagian daripada pengagihan daging korban ini ialah mengedarkannya di Gaza melalui kerjasama Hashemite Charity Organisation. Sebahagian lain pula akan diedarkan di Baitulmakdis Timur dan Tebing Barat. Namun, jika keadaan tidak mengizinkan, kesemuanya akan dialihkan ke kem pelarian Palestin di Jordan.”

Peserta boleh memberi bantuan tambahan melalui makanan sedia makan (ready-to-eat) yang ditinkan dan didermakan kepada masyarakat tersebut.

Satu set tiga tin makanan ini berharga $15.

Peserta juga berpeluang menjalankan ibadah korban lembu di benua Afrika (satu bahagian $95, seekor $650) dengan penyembelihan lembu akan dibahagi-bahagikan antara tiga negeri, iaitu Uganda, Kenya dan Tanzania, dan dagingnya diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan di sana.

Bagi yang ingin menunaikan ibadah korban pada harga dimampui, pilihan korban di Indonesia dan benua Afrika boleh dipertimbangkan.

Perdaus menawarkan korban kambing di Indonesia pada harga $165, dengan agihan kepada masyarakat memerlukan di Malang, Jawa Timur. Selain korban, penyembelihan ini juga terbuka untuk akikah, nazar dan infak.

Di Afrika pula, korban lembu ditawarkan pada harga $95 satu bahagian atau $650 seekor, dengan agihan daging di Uganda, Kenya dan Tanzania kepada golongan yang memerlukan.

CARA DAPATKAN KHIDMAT KORBAN PERDAUS

* Layari laman Perdaus di perdaus.org.sg/qurban.

* Hadir di pejabat Perdaus melalui janji temu sahaja.

* Imad Perdaus Bedok: Blok 125 Bedok North Road #01-115 S460125. Hubungi talian 8127-3729.

* Imad Perdaus Bukit Batok: Blok 364 Bukit Batok Street 31 #01-259 Singapura 650364. Hubungi talian 9873-3369.