Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergaduhan maut di Orchard: ‘Bouncer’ miliki pisau dihukum penjara, rotan

Apr 21, 2025 | 6:40 PM
Senjata disimpan dalam sebuah almari di luar Club Rumours – sebuah kelab malam di Hotel dan Pusat Beli-belah Concorde – sebagai persediaan sekiranya berlaku serangan.
Senjata disimpan dalam sebuah almari di luar Club Rumours – sebuah kelab malam di Hotel dan Pusat Beli-belah Concorde – sebagai persediaan sekiranya berlaku serangan. - Foto ST

Seorang ketua keselamatan, atau ‘bouncer’, di sebuah kelab di Orchard Road sedang bertugas apabila dia meminta pegawai bawahannya mengambil tiga pisau selepas terlihat sekumpulan anggota kongsi gelap di sekitar kawasan tersebut.

Menurut dokumen mahkamah, pisau itu disimpan dalam sebuah almari di luar Club Rumours., sebuah kelab malam di Hotel dan Pusat Beli-belah Concorde, sebagai persediaan sekiranya berlaku serangan.

Ketua ‘bouncer’ itu, Zurfaqar Musli; seorang ‘bouncer’, Mohamad Zachary Danial Mohamad Azhar, berusia 23 tahun ketika itu; dan bekas ‘bouncer’, Muhammad Shahrulnizam Osman, berumur 31 tahun waktu itu, bersenjatakan pisau setiap seorang, dan satu pergaduhan tercetus tidak lama kemudian.

Pihak pendakwaan dalam prosiding sebelum ini berkata seorang lagi bekas ‘bouncer’ Club Rumours, Mohammad Isrrat Mohd Ismail, 29 tahun, – yang datang ke kelab itu untuk menyerahkan kad jemputan perkahwinannya kepada kakitangan kelab itu – meninggal dunia selepas ditikam oleh Asvain Pachan Pillai Sukumaran, berusia 30 tahun ketika itu

Pada 21 April, Zurfaqar, 34 tahun, yang tidak menggunakan pisau itu semasa pergaduhan tersebut, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan sebat enam kali selepas dia mengaku bersalah memiliki senjata.

Asvain sebelum ini telah didakwa dengan pertuduhan membunuh dan kesnya masih dalam perbicaraan, lapor The Straits Times.

Beberapa individu yang terlibat dalam kes itu telah didakwa di mahkamah sebelum ini, termasuk Zachary, Shahrulnizam, Sridharan Elangovan, 30 tahun, dan Manojkumar Velayanatham, 32 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kathy Chu dan Brian Tan menyatakan dalam dokumen mahkamah bahawa pada awal pagi 20 Ogos 2023, sekumpulan lelaki yang dirujuk sebagai ‘kumpulan perusuh’ dalam dokumen mahkamah tiba di Club Rumours.

Mereka termasuk Asvain, Sridharan dan Manojkumar.

Anggota kumpulan kongsi gelap yang merupakan musuh kumpulan itu – termasuk Isrrat dan Shahrulnizam – turut tiba di kelab itu.

Zurfaqar, yang ternampak kumpulan perusuh itu, mengarahkan Zachary mengambil pisau. Zachary memberi pisau pemotong buah kepada Zurfaqar, pisau pemotong roti kepada Shahrulnizam, dan menyimpan satu untuk dirinya.

Pada 6 pagi, ketika pengunjung mula beredar, Isrrat dan Shahrulnizam memaki hamun kumpulan perusuh itu, seterusnya mencetuskan pergaduhan.

Shahrulnizam melukakan tiga lelaki, manakala Isrrat menikam dahi seorang anggota perusuh.

Semasa dikejar kumpulan perusuh, pisau Isrrat terjatuh dan Asvain menggunakannya untuk menikamnya berkali-kali. Kumpulan itu kemudian melarikan diri, dan kakitangan kelab memanggil ambulans.

Isrrat dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH), dan disahkan meninggal dunia sekitar 7 pagi.

Bagi kesalahan memiliki senjata di tempat awam, pesalah boleh dihukum penjara hingga tiga tahun dan rotan sekurang-kurangnya enam kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg