Seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam satu pergaduhan yang membawa maut di Woodlands telah didakwa atas satu tuduhan pada 23 Disember, kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang warga emas dengan sengaja.
Teo Eng Chye, 57 tahun, didakwa terlibat dalam satu pertengkaran dengan Encik Foo Suan Chew, 73 tahun, di kedai makan Fork & Spoon di Blok 768 Woodlands Avenue 6, pada 21 Disember sebelum ia berubah menjadi satu pergelutan.
Teo didakwa menyerang Encik Foo, yang mengalami patah pada rawan di larinks (kotak suara) dan kemudian meninggal dunia di hospital.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana Teo menyerang Encik Foo sehingga menyebabkan kecederaan parah tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata mereka telah menerima panggilan daripada kedai makan itu sekitar 9.20 malam pada hari kejadian.
Encik Foo tidak sedarkan diri ketika pegawai tiba di lokasi, dan beliau dibawa ke hospital dan kemudian meninggal dunia.
Pada 23 Disember, Teo diarahkan ditahan reman di Divisyen Polis Woodlands.
Kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 30 Disember.
Bagi tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan sengaja, pesalah boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun, serta dikenakan denda atau sebatan.
Namun, Teo tidak boleh dikenakan sebatan kerana berusia melebihi 50 tahun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg