Dalam pergaduhan sengit antara dua kumpulan di luar Balestier Point, seorang lelaki berlari dari arah belakang lalu menumbuk muka seorang lagi lelaki yang tidak menyedari kehadirannya.
Tumbukan itu menyebabkan mangsa terjatuh ke belakang dan kepalanya terhantuk ke tanah, mengakibatkan retak tengkorak serta kecederaan serius.
Mangsa, Encik R. Dehven, 34 tahun, meninggal dunia di hospital seminggu kemudian.
Pada 13 Oktober, Muhammad Amiruddin Sabtu, 27 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan digantung lesen memandu selama dua tahun selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan — menyebabkan kecederaan parah, memandu tanpa lesen sah dan menipu dengan menyamar.
Mahkamah diberitahu bahawa kumpulan Amiruddin dan kumpulan mangsa bertengkar selama lebih 15 minit selepas dua wanita daripada kedua-dua pihak bertikam lidah.
Kedua-dua kumpulan sedang minum di sebuah bar di Balestier Point dari 17 hingga awal pagi 18 Mei 2024.
Ketika kumpulan mangsa hendak beredar antara 4 dengan 5 pagi, pertengkaran yang tercetus memuncak apabila Encik Dehven dan seorang lelaki daripada kumpulan Amiruddin saling mencabar untuk bertumbuk.
Rakaman CCTV menunjukkan Amiruddin berlari ke arah Encik Dehven lalu menumbuk mukanya, menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak lagi bergerak.
Darah mula mengalir dari hidungnya, dan beliau rebah akibat serangan jantung ketika paramedik tiba.
Mangsa meninggal dunia pada 25 Mei.
Timbalan Pendakwa Raya Encik Sean Teh menjelaskan bahawa Amiruddin mempunyai rekod lampau pada 2013, 2017 dan 2021 atas kesalahan termasuk rusuhan dan perhimpunan haram.
Dalam kes berasingan pada Disember 2023, dia ditahan kerana memandu tanpa lesen menggunakan akaun GetGo milik saudara perempuannya tanpa pengetahuan wanita itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg