Guru agama atau asatizah di negara ini digesa untuk lebih aktif dalam mendekati masyarakat melalui perkongsian kandungan Islam di platform media sosial.

Saranan ini disuarakan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mizi, dalam sesi podcast BHerbual terbitan Berita Minggu baru-baru ini.

Menurut beliau, ruang media sosial digital perlu diisi kandungannya secara aktif oleh golongan asatizah tempatan bagi mengelakkan masyarakat daripada beralih kepada pengaruh luar negara atau sumber siber yang tidak bertauliah.

Beliau turut menggalakkan rakan asatizah untuk tidak teragak-agak tampil memberikan pandangan serta jawapan mereka terus di ruang komentar, tanpa perlu menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa sahaja.

“Kalau kita tidak sokong asatizah kita untuk menghasilkan kandungan sendiri di ruang siber serta mengajak masyarakat mengikuti kursus agama, masyarakat akan pergi ke kandungan TikTok dari luar negara atau ke pempengaruh yang bukan bertauliah dalam agama,” kata Ustaz Tarmizi.

Bagaimanapun, Ustaz Tarmizi mengakui terdapat cabaran besar yang dihadapi golongan asatizah, terutamanya apabila mereka mula aktif membina kandungan di media sosial.

Beliau mendedahkan ada segelintir asatizah yang mengadu kepadanya mengenai kecaman hebat yang diterima, termasuk tuduhan melulu kononnya mereka mengejar populariti siber.

Menceritakan cabaran emosi tersebut, Ustaz Tarmizi berkata: “Ada asatizah yang pernah mengadu kepada saya, dia dapat orang DM (mesej) cakap ‘kau ni gila populariti’.”

Beliau menambah bahawa tohmahan sedemikian sangat menggores perasaan kerana asatizah juga merupakan manusia biasa yang tidak mempunyai niat buruk seperti yang didakwa warganet.

Lebih memburukkan keadaan, label negatif seperti “penunggang agama” sering dilemparkan oleh segelintir pihak apabila seseorang asatizah itu mula menceburi bidang perniagaan demi kelangsungan hidup.

Tekanan daripada budaya tular negatif atau cancel culture ini mewujudkan ketakutan yang tulen dalam kalangan asatizah muda untuk tampil menghasilkan kandungan digital.

Bagi menangani isu berkenaan dan mempersiapkan golongan pendidik agama mendepani kecaman, beliau berkata Pergas kini bekerjasama rapat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Ustaz Tarmizi menjelaskan bahawa kerjasama tersebut memberikan tumpuan khusus kepada aspek pembangunan keperibadian asas bagi setiap asatizah.

Program latihan bersasar ini bertujuan membangunkan kekuatan dalaman, kesabaran, kepercayaan, serta ketabahan diri yang tinggi dalam diri asatizah tempatan.

Beliau menegaskan bahawa memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dan kreativiti sahaja tidak mencukupi untuk berdepan masyarakat era digital.

Ustaz Tarmizi turut mengingatkan asatizah agar sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat yang mempunyai kepelbagaian pendapat.

“Kita lihat sunnah dan sejarah Nabi Muhammad saw. Nabi bertemu dengan masyarakat dan masyarakat juga ada yang tidak bersetuju dengannya.

“Malah, mereka yang tidak bersetuju bukan sahaja tidak bersetuju dengan komen-komen itu, tetapi ada yang membaling tanah, menyusahkan hidupnya, membaling batu dan sebagainya.

“Jadi, ia adalah sebahagian daripada kehidupan. Jadi, kita juga mesti menyediakan asatizah kita dengan kekuatan rohani, mental, dan emosi,” tambahnya.

Menyentuh tentang penularan kandungan agama dari luar negara, Ustaz Tarmizi tidak menafikan bahawa masyarakat Islam di Singapura juga kadangkala mudah terpengaruh dengan trend global.

Namun, beliau melihat kecenderungan masyarakat tempatan untuk mendapatkan panduan daripada asatizah tempatan melalui kelas pengajian dan akaun media sosial rasmi masih berjalan dengan baik.

Beliau menjelaskan bahawa tidak semua kandungan dari luar negara itu membawa pengaruh buruk, namun cabaran sebenar terletak pada keupayaan individu untuk menapis maklumat tersebut secara bijak.

“Jadi cabaran sebenar adalah sama ada individu itu mempunyai kebolehan untuk menapis kandungan itu – sama ada ‘okey atau tidak okey’, ‘sesuai atau tidak sesuai’.

“Apabila mereka telah sampai ke tahap itu, mereka juga perlu berani bertanya kepada seorang asatizah tempatan untuk lebih memahami tentang perkara itu,” ujar Ustaz Tarmizi.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa syukur kerana semakin ramai ahli masyarakat yang kini berani tampil bertanya dan merujuk terus kepada asatizah tempatan bagi mengesahkan kesahihan sesuatu maklumat yang tular di aplikasi WhatsApp.

Sama ada asatizah tempatan perlu lebih aktif untuk membidas tanggapan salah oleh pempengaruh atau pengaruh luar negara berkaitan isu agama, Ustaz Tarmizi berkata asatizah tempatan berhak memberikan pandangan mereka secara objektif.

“Jangan jadikan ia sesuatu isu wilayah, isu negara dan sebagainya, malah tumpukan perbincangan itu kepada kesesuaian perkara itu menurut kehidupan di negara ini.

“Bincangkan secara menyeluruh dan objektif agar ia mengundang hormat daripada pihak-pihak yang betul-betul sedang mencari jawapan,” kata Ustaz Tarmizi.