Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenyataan penuh Pergas mengenai catatan FB Calvin Cheng

Dianggap amat merisaukan, berisiko jejas perpaduan sosial S’pura
Apr 7, 2025 | 2:32 PM
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) kecewa dengan kenyataan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, yang dianggap menghasut dan berisiko menjejaskan perpaduan sosial masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) kecewa dengan kenyataan bekas Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Calvin Cheng, yang dianggap menghasut dan berisiko menjejaskan perpaduan sosial masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura. - Foto ST

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menyuarakan kekecewaan yang mendalam mengenai kenyataan umum yang dibuat oleh Encik Calvin Cheng baru-baru ini, termasuk kata-kata yang mencetuskan kemarahan yang ditujukan kepada anggota masyarakat Islam di Singapura.

Kenyataan beliau, terutama sindiran bahawa individu tertentu dihantar ke Gaza dan tidak dibenarkan pulang, amat merisaukan dan berisiko menjejaskan perpaduan sosial yang dipupuk dengan susah payah yang mentakrifkan masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai bekas tokoh awam, Encik Cheng memiliki pengaruh dan jangkauan.

Oleh itu, adalah mengecewakan bahawa, daripada memupuk perbincangan berlandaskan rasa saling hormat, beliau telah memilih untuk mempersenda dan mengasingkan warga Singapura, yang ramai daripada mereka meluahkan perasaan empati dan perpaduan sebagai respons terhadap penderitaan kemanusiaan.

Kenyataan ini – yang dibuat dalam domain awam – boleh ditafsirkan sebagai tidak berperikemanusiaan, meremehkan dan sangat tidak sensitif, terutama memandangkan tragedi global yang berterusan yang terus menimbulkan kesedihan kepada masyarakat di seluruh dunia.

Selama beberapa dekad, Singapura telah bekerja keras untuk membina rasa saling hormat menghormati antara penganut agama dengan kaum yang berbeza.

Kenyataan seperti ini bukan sahaja melukakan perasaan malah menanam benih ketidakpercayaan dan perpecahan.

Ia mengganggu kewujudan bersama secara aman yang rakyat Singapura, berpandukan nilai-nilai bersama dan prinsip kebangsaan, telah dibina secara kolektif dan terus dilindungi.

Allah swt mengingatkan kita di dalam Al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman, berpendirian teguhlah untuk menegakkan keadilan, sebagai saksi kepada Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu bapa atau kaum kerabat…” (Surah An-Nisa, 4:135).

Ayat ini mengajar kita bahawa berdiri untuk kebenaran mesti mengatasi pertalian peribadi, kecenderungan politik, atau tekanan masyarakat.

Menegakkan keadilan dan kesaksamaan adalah kewajipan moral dan kerohanian – terutama apabila keamanan dan perpaduan terancam.

Sebagai badan agama yang diamanahkan dengan bimbingan moral dan kepimpinan masyarakat, Pergas menyeru pihak berkuasa yang berkaitan supaya melaksanakan apa yang perlu untuk melindungi fabrik sosial negara kita.

Individu yang menghasut kebencian, mencetus perpecahan, atau membuat kenyataan yang tidak sensitif dan berbahaya mesti dipertanggungjawabkan.

Ini selaras dengan nilai yang dipegang oleh rakyat Singapura – nilai tanggungjawab, rasa hormat dan komitmen yang tidak berbelah bagi kepada keamanan.

Kenyataan ini dikeluarkan atas sokongan dan muafakat Majlis Masyayikh kita yang merangkumi: Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Ustaz Pasuni Maulan, Ustazah Dr Sukarti Asmoin, Ustaz Sallim Jasman, Ustaz Abdul Manaf Rahmat dan Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Semoga kita semua terus menjunjung keharmonian yang kita hargai dan melindunginya daripada orang-orang yang mungkin secara sengaja atau tidak sengaja membawa kemudaratan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg