Dalam dunia yang semakin kompleks dan kian berubah, kepimpinan agama memainkan peranan penting di Singapura dan asatizah mesti mengikuti perkembangan sezaman sambil melangkaui pendidikan agama, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Justeru, dengan adanya rangkaian khusus bagi karyawan dan sukarelawan, asatizah akan mempunyai lebih banyak peluang berkhidmat kepada warga Singapura daripada semua lapisan masyarakat dan agama, baik bidang seperti penjagaan paliatif (melegakan tanda penyakit tanpa menangani puncanya) kepada membantu golongan muda berisiko.
Demikian jelas Encik Wong ketika melancarkan Rangkaian Karyawan dan Sukarelawan Asatizah (APVN), di bawah naungan Pusat Pembangunan dan Kepimpinan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), yang dikenali sebagai Cradle, di Max Atria, Singapore Expo, pada 4 Oktober.
Katanya: “Sejak beberapa dekad lalu, Pergas terus membimbing dan membangun barisan asatizah, yang bukan sahaja berilmu dalam agama, malah berdaya maju dan peka terhadap keperluan masyarakat kita.
“APVN ini akan meneruskan usaha baik anda dan membantu asatizah kita menyumbang kepada masyarakat Islam dan juga Singapura.
“Langkah bermakna ini akan memperkukuh peranan asatizah di Singapura. Pemerintah akan terus bekerja rapat dengan Pergas dan masyarakat Islam untuk mencapai aspirasi bersama.”
Beliau menggalakkan agar APVN dimanfaatkan sebaik mungkin sambil mengesyorkan pemerintah terus bekerjasama rapat dengan masyarakat, termasuk melalui Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), yang akan ditumpukan kepada usaha melahirkan generasi asatizah seterusnya.
Pelancaran APVN dibuat pada majlis makan tengah hari Pergas, di mana sijil diploma, biasiswa dan geran possiswazah Pergas, turut disampaikan.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta 400 tetamu, turut hadir pada majlis tersebut.
Dalam pada itu, APVN, menyatukan asatizah yang berkhidmat merentasi pelbagai bidang, secara profesional atau sukarela, dan menyediakan mereka ruang yang tersusun untuk belajar, bekerjasama dan berkembang.
Lantas, ia akan menghubungkan asatizah kepada masyarakat yang memerlukan, tambah Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.
Menurutnya, rangkaian tersebut akan melengkapkan asatizah dengan latihan yang disesuaikan dengan cabaran hari ini.
Selain itu, ia akan menerapkan bimbingan Islam yang berkekalan, dengan realiti kehidupan moden yang kompleks, di samping menyokong asatizah agar mereka tidak berasa terpinggir ketika berkhidmat.
Memberi contoh, Ustaz Tarmizi berkata Kajian Kesihatan Mental Belia Kebangsaan (NYMHS) yang dikeluarkan pada 2024 mendapati satu daripada tiga belia berumur antara 15 dengan 35 tahun di Singapura, dikenal pasti dengan isu kemurungan, kebimbangan atau tekanan yang teruk.
Meskipun golongan belia lebih terhubung berbanding generasi sebelumnya, ramai antara mereka masih berasa kesepian.
“Apabila keperluan mereka untuk rasa kebersamaan tidak dipenuhi, sama ada di rumah atau di sekolah, mereka akan mencari tempat lain untuk merasa diterima, kadangkala dalam cara yang merosakkan, atau melalui ideologi yang berbahaya.
“Di sinilah terletaknya tanggungjawab para asatizah, bukan sekadar membimbing di dalam bilik darjah, tetapi hadir di saat dan tempat di mana para belia kita paling terdedah,” ujar Ustaz Tarmizi.
Walaupun pemeliharaan tradisi kekal penting, beliau menambah asatizah tidak lagi boleh mengehadkan diri kepada ruang tradisional semata-mata.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg