Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) menolak sebarang percubaan oleh mana-mana pihak di dalam negara, kuasa asing atau individu yang boleh menyebabkan ketidakharmonian atau memecahkan perpaduan di Singapura.
Menyatakan demikian menerusi catatan Facebooknya pada 22 Ogos, Pergas menegaskan perlunya untuk “kita terus kekal berwaspada dan berdaya tahan terhadap maklumat yang salah atau sebarang percubaan untuk bertelagah antara satu sama lain.”
Kenyataan itu dikeluarkan hasil sesi dialog dengan pemimpin pertubuhan Melayu/Islam (MMO) pada 21 Ogos, yang dihadiri Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid, selaku anggota panelis.
Dialog bertajuk ‘SG60: Memacu Masyarakat Ke Hadapan’ itu dianjurkan Taman Bacaan dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) di Hotel Grand Hyatt.
Antaranya, semasa sesi dialog itu, para pemimpin MMO bersatu menolak campur tangan asing dalam politik Singapura, lebih-lebih lagi yang menggunakan maklumat salah dan palsu untuk menggugat ikatan masyarakat dan melemahkan jati diri kebangsaan melalui ruang dalam talian.
Pemimpin tersebut turut menimbulkan keprihatinan mengenai video yang disebarkan di wadah TikTok, terutamanya oleh pihak lain dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Zulfikar Mohamad Shariff, yang amat membimbangkan kerana memberi gambaran negatif serta mengelirukan tentang masyarakat Melayu/Islam.
Dalam catatan Facebook mereka itu, Pergas menyeru agar anggotanya dan orang awam kekal berwaspada dan berdaya tahan terhadap sebarang maklumat palsu atau percubaan untuk melagakan satu sama lain.
“Kami percaya, bersama-sama sokongan rakan kongsi masyarakat, kami dapat memenuhi misi dan matlamat bersama bagi manfaat ummah.
“Dengan berbuat demikian, kita tidak boleh lupa untuk menghargai sumbangan perintis kita. Kehidupan dan legasi mereka telah menanam benih keharmonian, nilai berkongsi dan identiti yang dipegang bersama,” tambah Pergas.
Ketika ditemui selepas sesi dialog tersebut, Ustaz Tarmizi berkata dalam hal ini, asatizah memainkan peranan penting sebagai sumber rujukan bagi memberi bimbingan “dengan nilai-nilai Islam yang murni dan baik agar tidak terpesong daripada tujuan utama.”
“Kita harus sentiasa bersatu hati dan berusaha mendapatkan kebaikan jangka panjang.
“Saya ingin mengajak teman asatizah seperjuangan untuk melihat isu-isu semasa ini dengan mata penglihatan yang teliti, penuh rahmah dan hikmah supaya kita dapat meraih kejayaan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg