Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergeraq bantu pembantu rumah dalami Al-Quran percuma

Mar 21, 2025 | 5:30 AM
Cik Dewi Citra berkata membaca Al-Quran memberikan ketenangan pada dirinya sambil mendalami ilmu agama Islam.
Cik Dewi Citra berkata membaca Al-Quran memberikan ketenangan pada dirinya sambil mendalami ilmu agama Islam. - Foto ihsan DEWI CITRA

Di tengah kesibukan, seorang wanita asal Medan, Indonesia, Cik Dewi Citra, menemukan ketenangan dalam membaca Al-Quran.

Sejak bekerja di Singapura sebagai pembantu rumah pada 2000, beliau tetap berusaha mendalami ilmu agama meskipun sibuk dengan tugasan harian.

Cik Dewi, 40 tahun, meluangkan waktu setiap Ahad petang, pada hari cutinya, dengan mengikuti kelas membaca Al-Quran yang dikendalikan oleh Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq) melalui program percuma Kempen Celik Al-Quran (KCQ).

Kelas ini diadakan di Masjid Sallim Mattar di Mattar Road, dan merupakan daya usaha yang memberi peluang kepada ramai individu mendalami bacaan Al-Quran secara sistematik.

Menurutnya, pembelajaran Al-Quran bukan sekadar ibadah, malah menjadi sumber ilmu yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan.

“Mempelajari Al-Quran adalah amalan yang sangat mulia. Ia memberikan ketenangan, kebaikan, serta membantu memahami agama Islam dengan lebih mendalam. Saya berharap memperoleh syafaat di akhirat nanti,” ujar Cik Dewi.

Beliau turut berkongsi bahawa tenaga pengajar Al-Quran di masjid tersebut, Ustazah Elwis Hasbullah dan Ustazah Yusna Fariza, amat berdedikasi dan komited dalam membimbing pelajar mereka.

“Setiap Ahad, saya tidak akan melepaskan peluang belajar Al-Quran. Alhamdulillah, saya dapat belajar secara percuma dengan sokongan Pergeraq dan masjid ini,” kata Cik Dewi.

Walaupun bekerja di rumah majikan yang bukan beragama Islam, Cik Dewi tetap diberikan izin oleh majikannya untuk melaksanakan ibadah setiap hari di rumah.

“Saya memberitahu majikan tentang kepentingan solat lima waktu dan membaca Al-Quran dalam kehidupan seorang Muslim. Alhamdulillah, mereka sangat memahami dan tidak pernah menghalang saya beribadah,” jelasnya.

Menurut Cik Dewi, sejak mengikuti kelas KCQ dua tahun lalu, beliau masih ‘jauh’ dalam perjalanan untuk khatam Al-Quran, namun beliau bertekad mahu terus belajar.

“Insya-Allah, saya akan terus melanjutkan pengajian Al-Quran ini,” ujarnya penuh semangat.

Selain menghadiri kelas mengaji, Cik Dewi juga merupakan anggota kumpulan nasyid Al-Izzah bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.

Baginya, pembelajaran agama bukan hanya berkisar kepada bacaan Al-Quran malah sebagai cara menyebarkan keindahan Islam melalui seni dan muzik.

“Ketika kita melihat ke belakang, kita mungkin melihat perjalanan yang sukar. Namun, apabila kita melihat ke depan, kita akan menyedari peluang yang tidak terbatas. Begitu juga dengan membaca Al-Quran.

“Bagi saya, setiap kesukaran pasti ada jalan keluar dan diberikan ketenangan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini,” tambah Cik Dewi.

Setiausaha Eksekutif Pergeraq, Encik Mohammad Hanafiah Tumin, menyatakan bahawa secara keseluruhan, Pergeraq memperuntukkan sekurang-kurangnya $150,000 setahun untuk membiayai program percuma seperti KCQ.

Program ini bertujuan membantu individu yang kurang berkemampuan, termasuk anggota Kumpulan Orang Cacat Singapura (KCMS), pesakit kronik, ibu atau bapa tunggal, anak yatim, pekerja migran beragama Islam serta mereka yang memerlukan bimbingan dalam pembelajaran Al-Quran.

Daya usaha ini merupakan langkah penting dalam memastikan akses pembelajaran agama yang bersifat terangkum, sekali gus memperkukuhkan jati diri Muslim dalam masyarakat majmuk seperti Singapura.

Dengan adanya usaha seperti ini, ramai individu seperti Cik Dewi dapat mendalami Al-Quran tanpa mengira latar belakang ekonomi dan sosial mereka.

SEKILAS

Untuk menderma:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0. WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda/zakat atau derma.

2. PayNow ke UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’ sila tulis nama anda/zakat atau derma.

* Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut, lungsuri laman persatuan di pergeraq.sg.

* Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10, PKMS Building, Singapura 419737.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg