Pergeraq semai cahaya Al-Quran tanpa batas usia dan latar hidup

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergeraq semai cahaya Al-Quran tanpa batas usia dan latar hidup

Feb 20, 2026 | 5:30 AM

Pergeraq semai cahaya Al-Quran tanpa batas usia dan latar hidup

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pergeraq
Bagi Ustazah Elwis Hasbullah, penglibatan dalam Kempen Celik Al-Quran untuk pembantu rumah migran bermula daripada ajakan seorang teman. - Foto PERSATUAN GURU-GURU AL-QURAN (PERGERAQ)

Di tengah kesibukan kota Singapura, dua pendidik berdedikasi tampil menyemarakkan semangat celik Al-Quran dalam kalangan wanita dewasa dan pekerja migran.

Usaha murni yang digerakkan oleh Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq), jelas membuktikan bahawa ilmu Al-Quran sentiasa relevan, tanpa mengira usia dan latar kehidupan.

Bagi Ustazah Elwis Hasbullah, penglibatan dalam program Kempen Celik Al-Quran (KCQ) khas buat pekerja pembantu rumah migran (FDW) bermula dengan satu ajakan sahabat.

Sejak 2019, beliau telah mengajar secara kecil-kecilan di rumah dengan lapan pelajar.

Bermula pada Januari 2025, kelas tersebut digabungkan dengan KCQ-FWD di Masjid Sallim Mattar, lantas menyaksikan kehadiran awal 16 pelajar kini berkembang kepada 43 ahli dalam kumpulan WhatsApp.

“Masyarakat ini, yang menghimpunkan gabungan Komuniti Al-Izzah dan Komuniti Nur Jannah, menjadikan masjid sebagai pangkalan atau ‘basecamp’ utama.

“Setiap minggu, mereka bukan sahaja mengikuti kelas tahsin secara talaqqi, malah terlibat dalam latihan berselawat, memenuhi undangan acara dan kunjungan ke institusi lain.

“Walaupun cabaran ketidakhadiran sering berlaku kerana kekangan hari rehat yang berbeza-beza, semangat mereka mahu terus belajar tetap menyuntik harapan agar Al-Quran sentiasa mekar di hati,” jelas Ustazah Elwis.

Beliau juga dibantu Ustazah Yusna bagi memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, di pejabat Pergeraq di bangunan PKMS Changi Road, Ustazah Sabariah Samsudin membimbing 15 pelajar wanita dewasa sejak 2021.

Usia pelajar dewasa ini merangkumi antara 54 tahun hingga 80 tahun – satu gambaran jelas bahawa menuntut ilmu Al-Quran adalah perjalanan sepanjang hayat.

“Dalam kalangan ibu tunggal dan penerima zakat, kelas ini menjadi ruang memperkasa bacaan Al-Quran dengan tajwid yang tepat serta penghayatan mendalam.

“Cabaran mengajar pelajar berbeza tahap minda dan latar sosial dihadapi dengan pendekatan bervariasi. Selain pengajian, Pergeraq turut menganjurkan bacaan Yasin, tahlil, doa serta kegiatan riadah dan kuiz tajwid bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang seimbang dan ceria.

“Hubungan ukhuwah yang terjalin juga melangkaui kelas. Pelajar ini saling menyokong antara satu sama lain, selain turut mengadakan acara meraikan ulang tahun guru, dan membina semangat istiqamah dan ukhuwah yang positif hingga selesai khatam Al-Quran.

“Dengan keikhlasan guru dan kesungguhan pelajar, tiada istilah terlambat untuk mendekatkan diri kepada Kalamullah,” kata Ustazah Sabariah.

Selain itu, Pergeraq juga giat menganjurkan pelbagai kegiatan bersempena Ramadan mulia ini, sebagai usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan memperkukuh nilai kasih sayang dalam masyarakat.

Pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan dilaksanakan, termasuk daya usaha bantuan kepada golongan memerlukan agar mereka juga dapat merasai keberkatan dan kegembiraan bulan penuh rahmat ini.

SEKILAS:

1. Untuk menderma dan pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0, WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda / zakat atau derma.

2. PayNow kepada UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’, sila tulis nama anda / zakat atau derma.

3. Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut, lungsuri laman pergeraq.sg, atau e-mel kepada pergeragsgp@gmail.com.

4. Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10 PKMS Building, Singapura 419737.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg