Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) telah menubuhkan sebuah Perikatan untuk Bertindak (AfA) bagi Integrasi Karyawan Asing.
AfA baru itu akan meneroka cara untuk menyepadukan profesional asing dengan lebih baik ke dalam tempat kerja dan komuniti, dan akan berlangsung dari Februari hingga September 2025.
Ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan, dan Bendahari Kehormat SNEF, Encik Marcus Lam.
Bercakap di Parlimen pada 10 Mac, Encik Alvin Tan berkata AfA tersebut akan mengadakan perhimpunan dan melengkapkan lebih ramai majikan untuk memupuk komuniti tempat kerja yang inklusif.
“Kami memulakan penglibatan tahun lepas, dan setakat ini mendapati bahawa majikan tempatan komited terhadap pengambilan pekerja yang adil dan sama, mereka mahu menyepadukan pekerja dengan lebih baik dan memupuk interaksi positif di tempat kerja.
“Para karyawan asing mahu menyesuaikan diri dengan norma budaya Singapura dan membina hubungan dengan rakan sekerja tempatan,” tambahnya.
AfA baru itu menghimpunkan 15 wakil daripada Persatuan Perdagangan dan Dewan Perniagaan (TAC), dan korporat daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi, kemampanan dan perdagangan komoditi
MCCY berkata sepanjang 10 tahun lepas, pekerjaan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknikal (PMET) telah meningkat sebanyak 382,000, manakala bilangan pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S meningkat sebanyak 38,000.
Ia menambah walaupun karyawan asing membawa bersama mereka kemahiran, perspektif dan pengalaman yang membantu mengekalkan pelaburan dan mewujudkan pekerjaan untuk rakyat Singapura, terdapat kebimbangan terhadap persaingan pekerjaan dan melemahkan identiti nasional dan norma sosial.
“Para karyawan asing tinggal dan bekerja dalam kalangan kita, ramai untuk jangka masa yang panjang, dan kita mesti memupuk persekitaran di mana tenaga kerja asing dan tempatan kita saling memahami dan menghargai norma sosial dan budaya masing-masing.
“Dengan membolehkan interaksi dan persahabatan yang bermakna antara warga tempatan dan warga asing di tempat kerja dan dalam masyarakat, kita boleh mengukuhkan sikap saling menghormati dan membina masyarakat yang lebih bersatu padu,” kata MCCY.
AfA tersebut telah melibatkan pemimpin korporat, pengurusan pertengahan dan kakitangan daripada syarikat yang berbeza sejak beberapa bulan lalu untuk memahami pandangan mereka mengenai penyepaduan profesional asing, kata MCCY.
Beberapa cadangan awal termasuk sokongan yang lebih kuat untuk membantu karyawan asing bukan sahaja berintegrasi di tempat kerja tetapi juga melalui memperkenalkan pekerja asing kepada norma tempatan, dan memupuk interaksi antara rakan sekerja dan dengan komuniti yang lebih besar.
Penglibatan juga menekankan keperluan untuk korporat mempunyai amalan HR yang memastikan semua pekerja mendapat peluang yang sama, dan untuk membangunkan kecekapan untuk memupuk integrasi.
MCCY berkata ahli AfA akan membangunkan cadangan untuk menambah baik integrasi dan akan berkongsi cadangannya pada separuh kedua 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg